Kerajaan Jepun luluskan RUU tembakan kecemasan untuk haiwan berbahaya

Bernama
Februari 21, 2025 06:15 MYT
Langkah baharu ini akan membolehkan kerajaan tempatan bertindak terhadap situasi seperti beruang yang berada lama dalam rumah atau bangunan. - Gambar hiasan
TOKYO: Kerajaan Jepun meluluskan rang undang-undang pada Jumaat untuk membenarkan pihak berkuasa tempatan memberi kebenaran bagi "tembakan kecemasan" apabila haiwan berbahaya memasuki kawasan padat penduduk berikutan peningkatan kes serangan beruang, lapor Xinhua.
Mesyuarat Kabinet meluluskan pindaan rang undang-undang ini bertujuan untuk membolehkan respons yang lebih cepat dan berkesan berbanding langkah sedia ada yang hanya membenarkan tembakan terhadap haiwan berbahaya apabila nyawa manusia terancam.
Jika undang-undang yang dipinda ini diluluskan dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung, Kementerian Alam Sekitar dijangka menguatkuasakannya menjelang musim luruh, ketika selera makan beruang berada pada puncaknya sebelum musim hibernasi.
Langkah baharu ini akan membolehkan kerajaan tempatan bertindak terhadap situasi seperti beruang yang berada lama dalam rumah atau bangunan.
Pada tahun kewangan 2023 hingga Mac 2024, Jepun mencatatkan serangan beruang tertinggi dengan 219 kes, enam daripadanya mengakibatkan kematian, menurut data rasmi.
Rang undang-undang ini juga menetapkan syarat-syarat tertentu untuk tembakan kecemasan, seperti apabila penangkapan haiwan secara cepat sukar dilakukan tanpa penggunaan senjata api dan tidak ada risiko peluru terkena orang awam.
-- BERNAMA
#RUU tembakan kecemasan #haiwan berbahaya #kes serangan beruang #Parlimen
;