Kerajaan Itali, ahli perniagaan bergabung tangani inflasi

Bernama
Ogos 5, 2023 11:00 MYT
Kerajaan Itali pada Jumaat menandatangani memorandum persefahaman dengan wakil perniagaan untuk menetapkan harga bagi produk utama dalam usaha mengurangkan inflasi, pada suku keempat tahun ini. - Gambar fail REUTERS
ROM: Kerajaan Itali pada Jumaat menandatangani memorandum persefahaman dengan wakil perniagaan untuk menetapkan harga bagi produk utama dalam usaha mengurangkan inflasi, pada suku keempat tahun ini, lapor Xinhua.
Menurut memorandum terbabit, produk pengguna tertentu yang disenarai sebagai "bakul barangan" akan disasarkan.
"Memberi tumpuan kepada barangan terkawal, kami yakin kami boleh memberi tamparan kepada inflasi," kata Adolfo Urso, menteri perusahaan Itali dan buatan Itali, dalam satu kenyataan.
Inflasi di Itali mula meningkat 18 bulan lalu dan ia mencapai paras tertinggi pada 11.8 peratus pada Oktober dan November 2022, kadar tertinggi di Itali sejak penggunaan mata wang euro 24 tahun lalu.
Peningkatan ini sebahagian besarnya didorong oleh kos tenaga yang tinggi, dengan kesan dapat dilihat di sektor lain melalui peningkatan kos pengeluaran dan pengangkutan.
Menurut Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), angka pada akhir Jun dijangka 1.2 mata lebih tinggi daripada purata OECD untuk bulan itu, dan kedua-dua angka Jun dan Julai adalah jauh melebihi kadar sasaran Bank Pusat Eropah.
Senarai barangan yang akan dimasukkan dalam pelan tindakan pengurangan inflasi akan dikeluarkan pada 10 Sept, dengan skim itu bermula pada Oktober.
Produk makanan asas, farmaseutikal dan bukan makanan dijangka dipaparkan dalam senarai.
Skim itu akan merangkumi langkah berbeza, seperti penggunaan harga tetap, aktiviti promosi dan diskaun harga.
-- BERNAMA-XINHUA
#Itali #Inflasi #bakul barangan #OECD
;