Kerajaan Ireland pimpinan perdana menteri Enda Kenny akui kekalahan dalam pilihan raya
AFP
Februari 28, 2016 09:29 MYT
Februari 28, 2016 09:29 MYT
Perdana Menteri Ireland Enda Kenny akhirnya mengakui kekalahan kerajaan campuran pimpinannya dalam pilihan raya umum yang menyaksikan gabungan itu dihukum pengundi berikutan kebimbangan berkenaan pelaksanaan langkah- berjimat-cermat oleh kerajaan.
Namun belum ada keputusan rasmi siapakah pemenang dalam pilihan raya kali ini.
“Jelas kerajaan pimpinan Fine Gael dan Parti Buruh tidak akan kembali menerajui kerajaan,“ kata Kenny yang juga pemimpin parti Fine Gael kepada stesen televisyen RTE.
Petunjuk awal menunjukkan parti Fine Gael dan gabungannya tidak disukai ramai meskipun Ireland mencatatkan pertumbuhan ekonomi paling pantas dalam zon Kesatuan Eropah.
Pengundi dikatakan beralih kepada calon bebas dan parti yang menentang langkah kawalan ketat perbelanjaan oleh kerajaan sedia ada.
Ia bakal membuka peluang kepada rundingan untuk pihak-pihak terbabit menubuhkan kerajaan campuran atau membentuk kerjasama.
Menurut Kenny, keputusan kiraan undi awal mengecewakan dengan kerajaan sedia ada kekurangan 80 kerusi untuk kembali berkuasa.
Parti pembangkang Fiana Fail dilihat kembali menguasai beberapa kerusi yang ia hilang dalam pilihan raya lima tahun lalu sewaktu kemuncak krisis perumahan dan ekonomi di negara itu.