Kerajaan Iran perkenal aplikasi cari jodoh buat golongan muda

Agensi
Julai 14, 2021 14:18 MYT
Hamdam atau dalam bahasa Parsi bermaksud berteman' merupakan aplikasi cari jodoh berlandaskan syariah. - Gambar hiasan
DALAM usaha menggalakkan golongan muda berkahwin, kerajaan Iran memperkenalkan aplikasi mencari jodoh berlandaskan syariah.
Dikenali sebagai Hamdam atau dalam bahasa Parsi bermaksud ‘berteman’, aplikasi itu membenarkan pengguna untuk mencari dan memilih pasangan mereka, lapor media tempatan.
Hamdam merupakan satu-satunya platform yang dibenarkan di negara Islam itu, tegas Ketua Polis Siber, Kolonel Mohammad Rajabi.
Aplikasi-aplikasi mencari jodoh sangat popular di negara berkenaan, namun, kesemua platform yang sedia ada itu dianggap sebagai haram, tegas Rajabi.
Dibangunkan oleh Institut Kebudayaan Tebyan, aplikasi berkenaan didakwa menggunakan kecederasan buatan untuk mempertemukan jodoh untuk golongan bujang yang berhasrat mendirikan rumah tangga.
Hamdam boleh diakses secara percuma oleh rakyat negara itu.
Menurut ketua Tebyan, Komeil Khojasteh, nilai-nilai kekeluargaan di Iran kini berhadapan dengan ancaman dari luar.
“Keluarga menjadi sasaran ‘musuh’ dan mereka (musuh) mahu nilai-nilai kekeluargaan (di Iran) ditawan dengan ‘idea mereka’ sendiri,” ujar beliau sambil memaklumkan aplikasi Hamdan akan mewujudkan keluarga yang ‘sihat’.
Setiap pengguna yang mahu mengakses ke aplikasi berkenaan, mereka harus mengesahkan identiti masing-masing dan harus menjalani ‘ujian psikologi’ sebelum berpeluang meneruskan pencarian jodoh.
Apabila padanan jodoh ditemui, aplikasi itu bakal membawa pengguna tersebut berkenalan dengan keluarga pasangan dengan kehadiran seorang perunding perkhidmatan yang juga akan sentiasa ‘mengiringi’ pasangan berkenaan sehingga empat tahun perkahwinan mereka.
Pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei pernah beberapa kali berkata, negara tersebut berdepan dengan peningkatan umur perkahwinan dan penurunan kadar kelahiran.
#Iran #aplikasi cari jodoh #Hamdam #berlandas syariah #Ayatollah Ali Khamenei
;