Kerajaan Indonesia tidak iktiraf ojek sebagai pengangkutan awam

Bernama
Disember 18, 2015 15:47 MYT
Kementerian Perhubungan melarang semua jenis perkhidmatan ojek termasuk yang beroperasi secara dalam talian kerana ia dinilai tidak memenuhi ketetapan sebagai pengangkutan awam. -Foto go-jek.com
Kerajaan Republik Indonesia hari ini mengeluarkan larangan perkhidmatan terhadap semua jenis ojek atau teksi motosikal di negara itu.
Media-media tempatan memetik Ketua Pengarah Perhubungan Darat Kementerian Perhubungan, Djoko Sasono sebagai berkata, larangan itu telah dikeluarkan secara rasmi menerusi Surat Pemberitahuan yang ditandatangani Menteri Perhubungan Ignasius Jonan baru-baru ini.
Katanya Kementerian Perhubungan melarang semua jenis perkhidmatan ojek termasuk yang beroperasi secara dalam talian kerana ia dinilai tidak memenuhi ketetapan sebagai pengangkutan awam.
"Apa pun namanya, pengoperasian sejenis, Go-Jek, Go-Box, Grab Bike, Grab Car, Blue Jek, Lady-Jek, dilarang," katanya.
Beliau berkata surat arahan larangan itu telah diedarkan kepada Polis Trafik, Pejabat-pejabat polis daerah dan Gabenor di seluruh Indonesia.
Djoko berkata pengoperasian ojek dan teksi uber tidak memenuhi syarat Undang-Undang Nomor 22 Tahun 2009 Lalu Lintas dan Angkutan Jalan serta Peraturan Pemerintah Nomor 74 Tahun 2014 Angkutan Jalan.
Katanya pengangkutan awam haruslah minimal beroda tiga, memenuhi peraturan dan memiliki kelulusan penyelenggaraan angkutan umum.
Bagaimanapun tinjauan Bernama mendapati perkhidmatan ojek masih berjalan seperti biasa malah terus mendapat sambutan kerana kebanyakan orang memilih perkhidmatan ojek untuk ke destinasi tertentu terutamanya dari pejabat ke stesen kereta api bagi mengelak mereka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di ibu kota.
#Blue Jek #Djoko Sasono #Go-Box #Go-Jek #Grab Bike #Grab Car #Jokowi #Lady-Jek #ojek
;