Kerajaan Indonesia siasat dakwaan jurutera curi teknologi jet pejuang KF-21

Bernama
Februari 3, 2024 12:00 MYT
Projek KF-21 membabitkan kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada Indonesia dan Korea Selatan. -Gambar fail/Amanz
JAKARTA: Kerajaan Indonesia sedang menyiasat dakwaan membabitkan seorang jurutera yang terlibat dengan projek bersama jet pejuang KF-21 dan Industri Aeroangkasa Korea (KAI).
Kementerian Luar mengarahkan kedutaannya di Seoul untuk bekerjasama dengan Kementerian Luar Korea Selatan dan pihak berkaitan untuk menjalankan siasatan menyeluruh mengenai perkara itu.
"Kedutaan telah berhubung terus dengan jurutera Indonesia dan mengesahkan individu itu tidak ditahan pada masa ini," menurut jurucakap kementerian Lalu Muhamad Iqbal.
Beliau berkata jurutera itu telah memainkan peranan penting dalam projek bersama sejak 2016, memiliki pemahaman mendalam tentang prosedur kerja dan peraturan berkaitan.
"Projek KF-21 membabitkan kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada Indonesia dan Korea Selatan.
"Kedua-dua negara komited untuk menangani sebarang isu yang mungkin timbul hasil kerjasama ini," katanya.
Pada Jumaat, Agensi Berita Yonhap melaporkan Korea Selatan sedang menyiasat seorang jurutera Indonesia atas dakwaan mencuri teknologi KF-21 yang sedang dibangunkan.
Jurutera yang ditempatkan di KAI itu disyaki menyimpan data pembangunan KF-21 di dalam pemacu USB dan kini dilarang meninggalkan Korea Selatan.
Pelbagai agensi, termasuk Perkhidmatan Perisikan Negara, sedang menjalankan siasatan bersama untuk menentukan sama ada data itu mengandungi teknologi strategik.
Indonesia selaku rakan kongsi projek terbabit belum memenuhi kewajipan pembayaran kos 20 peratus projek yang mula dilaksanakan pada 2015, dengan bayaran hampir satu trilion won berbanding kos keseluruhan projek berjumlah 8.8 trilion won.
-- BERNAMA
#Korea Selatan #jet pejuang KF-21 #jurutera Indonesia #Industri Aeroangkasa Korea
;