Kerajaan India minta syarikat penerbangan tempatan mainkan muzik warisan negara dalam pesawat

Bernama
Disember 29, 2021 08:41 MYT
Kementerian Penerbangan Awam merungut bahawa "syarikat penerbangan India jarang memainkan muzik India" dalam penerbangan mereka meskipun ia "kaya dengan warisan itu." - Gambar hiasan
NEW DELHI: Kerajaan India telah meminta syarikat penerbangan untuk memainkan muzik India dalam penerbangan mereka dan di kemudahan lapangan terbang.
Kementerian Penerbangan Awam merungut bahawa "syarikat penerbangan India jarang memainkan muzik India" dalam penerbangan mereka meskipun ia "kaya dengan warisan itu."
"Oleh itu, syarikat penerbangan diminta untuk mempertimbang memainkan muzik India dalam pesawat yang dikendalikan di India dan di lapangan terbang mengikut syarat dan peraturan," katanya.
Kementerian mengeluarkan cadangan itu selepas menerima permintaan daripada Majlis Perhubungan Kebudayaan India (ICCR), sebuah agensi di bawah Kementerian Luar Negeri, untuk mempromosikan muzik tempatan dalam penerbangan.
"Perubahan yang dilihat kecil ini untuk memainkan muzik India dalam penerbangan yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan India akan memberi banyak manfaat dalam menyemarakkan rasa cinta kepada tanah air di hati rakyat negara kita," kata ICCR dalam kenyataan sebelum ini. - BERNAMA
#Kerajaan India #muzik India #Kementerian Penerbangan Awam #Warisan