Kerajaan India cuba redakan kemarahan penduduk
Astro Awani
Disember 23, 2012 10:32 MYT
Disember 23, 2012 10:32 MYT
Kerajaan India mengambil beberapa langkah bagi mengurangkan kemarahan penduduk susulan kes rogol beramai-ramai ke atas seorang wanita di dalam bas baru-baru ini.
Ia termasuk penubuhan satu suruhanjaya inkuiri di bawah Akta Inkuiri Suruhanjaya 1952 untuk meningkatkan tahap keselamatan wanita di New Delhi.
Beberapa langkah lain turut diambil. Ia termasuk meningkatkan rondaan polis pada waktu malam, memeriksa pemanda bas serta kelindan selain mengharamkan pemasangan cermin hitam dan langsir dalam bas.
Dalam pada itu, polis memaklumkan lima pegawai polis New Delhi telah digantung tugas kerana gagal mengambil tindakan segera susulan serangan seksual itu manakala suspek keenam dan terakhir dalam kes itu berjaya ditangkap.
Sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup. Namun penunjuk perasaan mendesak agar hukuman mati dikenakan ke atas tertuduh.
Kejadian mengejutkan itu berlaku apabila seorang wanita dan temannya dipukul sebelum dirogol di dalam bas ketika bas itu sedang bergerak.
Selepas kejadian rogol beramai-ramai itu, wanita tersebut dan temannya dihumban keluar melalui tingkap.