Kerajaan gabungan dakwa duta AS campur tangan urusan dalaman Israel
Bernama
Februari 20, 2023 11:53 MYT
Februari 20, 2023 11:53 MYT
BAITULMAQDIS: Kerajaan gabungan Israel di bawah pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada Ahad mendakwa Duta Amerika Syarikat (AS) Tom Nides campur tangan dalam hal ehwal dalaman Israel.
Nides dikatakan menggesa Netanyahu memperlahankan rancangannya untuk menambah baik sistem kehakiman yang telah mencetuskan protes besar-besaran di Israel sejak beberapa minggu lalu, lapor Agensi Anadolu.
Bagaimanapun, Parti Likud pimpinan Netanyahu berkata reformasi kehakiman tidak melibatkan utusan AS.
Ahli Parti Likud yang juga Menteri Diaspora Amichai Chikli dalam satu kenyataan berkata: "...jaga urusan negara sendiri."
Beribu-ribu rakyat Israel turun ke jalan raya sejak beberapa minggu lalu untuk membantah rancangan reformasi kehakiman Netanyahu.
Pelan pembaharuan itu dicadangkan oleh Menteri Kehakiman Yariv Levin dan jika ia digubal, reformasi itu akan menjadi perubahan paling radikal yang pernah ada dilakukan dalam sistem pemerintahan di Israel.
Perubahan yang dirancang itu akan mengehadkan kuasa Mahkamah Agung sebaliknya memberi kerajaan kuasa untuk memilih hakim dan menamatkan pelantikan penasihat undang-undang ke kementerian oleh peguam negara.
Bagaimanapun, Netanyahu yang sedang dibicarakan kerana rasuah menegaskan bahawa pembaharuan itu akan memperkukuh lagi demokrasi.
-- BERNAMA