Kerajaan cadang luaskan kerjasama tiga negara di perairan Laut Sulu

Bernama
April 28, 2017 14:56 MYT
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersalaman dengan Anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Lahad Datu di Lahad Datu hari ini. - Foto Bernama
Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerajaan bercadang memperluaskan kerjasama antara agensi-agensi keselamatan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dengan agensi keselamatan di Filipina dan Indonesia bagi memperkukuhkan keselamatan di perairan Laut Sulu.
Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, berkata, cadangan itu diambil kira selepas melihat kejayaan kerjasama ketenteraan antara tiga negara berjiran - Malaysia, Filipina dan Indonesia melalui inisiatif tertentu.
"Kerjasama itu juga untuk memastikan tiada pertindihan atau pembaziran aset, tempoh maklum balas yang pantas serta perkongsian maklumat dan risikan dapat dipertingkatkan.
"Tiada sebab kita tidak boleh meluaskan jalinan kerjasama ini kepada agensi-agensi lain dalam Esscom," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan dan mendengar taklimat mengenai perkembangan terkini Esscom, di sini hari ini.
Beliau berkata kerjasama itu juga sangat penting untuk mengekang ancaman militan Daesh yang mencari lokasi baharu untuk menyebarkan pengaruh atau membina wilayah baharu.
"Militan Daesh adalah satu ancaman besar dan kita tidak mahu mereka bertapak di sini. Oleh itu kerjasama ketiga-tiga negara berjiran perlu digembleng sebelum terlambat," katanya.
Mengulasi lawatannya, Hishammuddin berkata ia bertujuan untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas dan terperinci berhubung inisiatif dan pendekatan terbaru yang sedang dan akan dilaksanakan oleh Esscom bagi memelihara keselamatan dan kedaulatan Sabah.
"Lawatan ke Esscom merupakan sebahagian daripada pendekatan awal saya sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas yang antara lain dipertanggungjawabkan untuk membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memperkukuhkan keselamatan Sabah khususnya melalui Jawatankuasa Pemantau Esscom yang dipengerusikan oleh beliau sendiri (Najib).
"Selain itu, saya juga akan bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Pemantau Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman khususnya dari segi pengoperasian dan teknikal," katanya.
Katanya, secara amnya Esscom telah menjalankan peranan sebagai sebuah organisasi keselamatan di Esszone dengan berkesan dan mampu mewujudkan susasana aman serta menjadikan kawasan di pantai timur Sabah berada dalam keadaan selamat.
-- BERNAMA
#ESSCom #Filipina #Hishammuddin Hussein #Indonesia #keselamatan #Lahad Datu #Malaysia
;