Kerajaan Britain pada minggu depan akan membentangkan laporannya berkenaan langkah yang diambil sebagai persediaan keluar daripada Kesatuan Eropah (EU), ujar Perdana Menterinya Theresa May dalam sebuah wawancara yang disiarkan pada Ahad.

Sejak mengambil alih pentadbiran pada July, May dan menteri yang bertanggungjawab terhadap pengurusan Brexit, David Davis, telah mendedahkan sedikit maklumat tentang hubungan Britain dengan EU.

Ia antara lain menyentuh isu seperti imigresen dan perjanjian perdagangan.

“Davis akan membentangkan kenyataan kepada Parlimen minggu ini tentang langkah-langkah yang diambil kerajaan sepanjang tempoh musim panas ini, dan cara-cara untuk kita memandang ke hadapan dalam membentuk hubungan yang kita mahukan bersama EU,” ujar May dalam wawancara bersama BBC.

Wawancara berkenaan dibuat menjelang Sidang Kemuncak G20 di China.

May juga menjelaskan tidak akan meluluskan Artikel 50 pada tahun ini, iaitu proses rasmi bagi keluar daripada EU, namun pada masa yang sama berkata bahawa kerajaannya tidak akan menangguhkan Brexit.

"Saya juga jelas bahawa rakyat Britain tidak mahu isu Artikel 50 diketepikan begitu sahaja,” ujarnya.