Kerajaan Australia batal cadangan undang-undang kawal maklumat salah
Bernama
November 24, 2024 04:30 MYT
November 24, 2024 04:30 MYT
CANBERRA: Kerajaan Australia secara rasmi menolak cadangan undang-undang yang akan mewajibkan syarikat media sosial untuk mengawal maklumat salah dan palsu di platform mereka, lapor Xinhua.
Michelle Rowland, Menteri Komunikasi pada Ahad mengumumkan kerajaan tidak akan meneruskan undang-undang maklumat salah berikutan ia menerima tentangan di Dewan Senat.
Sekiranya diluluskan, undang-undang itu akan memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Komunikasi dan Media Australia (ACMA) untuk mengenakan denda ke atas syarikat media sosial yang gagal memantau dan mengawal maklumat salah dan palsu di seluruh rangkaian mereka.
Namun gabungan pembangkang, Parti Hijau dan beberapa senator bebas menolak undang-undang itu, menyebabkan Parti Buruh yang memerintah gagal memperoleh majoriti undi yang diperlukan untuk meluluskan cadangan itu.
Pengumuman Rowland dibuat menjelang minggu terakhir persidangan parlimen 2024. Kerajaan mempercepatkan perundangan untuk rancangan pertama di dunia bagi melarang penggunaan media sosial untuk individu di bawah 16 tahun dengan parlimen dijangka meluluskan rang undang-undang itu pada Rabu atau Khamis.
-- BERNAMA