Kerajaan Australia akan paksa bank bayar ganti rugi kepada mangsa penipuan

Bernama
Julai 31, 2024 09:30 MYT
Penipuan pelaburan menyebabkan kerugian kewangan paling besar, merangkumi 47.4 peratus daripada semua kerugian, diikuti oleh penipuan akses jauh dan penipuan cinta. - Gambar hiasan
CANBERRA: Bank di Australia akan dipaksa membayar ganti rugi kepada pelanggan yang kehilangan wang akibat penipuan di bawah undang-undang baharu yang dicadangkan oleh kerajaan, lapor Xinhua.
Dalam ucapan kepada Kelab Akhbar Nasional di Canberra pada Rabu, Penolong Bendahari Stephen Jones berkata undang-undang semasa tidak banyak membantu mangsa penipuan mendapatkan kembali wang mereka.
Beliau berkata dalam banyak kes, rakyat Australia tidak boleh diberi ganti rugi atas kerugian penipuan kerana mereka ditipu untuk memindahkan wang melalui transaksi yang sah, yang bermaksud ia tidak melanggar undang-undang semasa.
"Kami akan menangani perkara ini untuk memastikan mangsa boleh menerima ganti rugi dalam keadaan yang betul," kata Jones.
Pada Julai 2023, kerajaan menubuhkan Pusat Antipenipuan Kebangsaan untuk mengetuai tindakan membanteras penipu.
Jones berkata pada Rabu bahawa tindakan membanteras itu mempunyai beberapa kejayaan tetapi bank, syarikat telekomunikasi dan platform digital mesti mengambil lebih banyak tindakan pencegahan.
Di bawah peringkat kedua tindakan membanteras kerajaan, bank, platform digital dan syarikat telekomunikasi akan dikenakan penalti jika mereka tidak menjalankan pemeriksaan pencegahan di bawah kod mandatori baharu untuk mengelakkan kerugian penipuan.
"Jika terdapat pelanggaran kod, bank, syarikat telekomunikasi atau platform digital akan dipertanggungjawabkan," kata Jones.
Menurut data yang diterbitkan oleh Pusat Antipenipuan Kebangsaan pada April, rakyat Australia kehilangan sejumlah A$2.74 bilion (US$1.79 bilion) akibat penipuan pada 2023 -- turun 13.1 peratus daripada 2022.
Golongan berumur 65 tahun ke atas merupakan satu-satunya kumpulan umur yang kehilangan lebih banyak wang akibat penipuan pada 2023 berbanding 2022.
Penipuan pelaburan menyebabkan kerugian kewangan paling besar, merangkumi 47.4 peratus daripada semua kerugian, diikuti oleh penipuan akses jauh dan penipuan cinta.
-- BERNAMA
#Australia #penipuan dalam talian #scam #ganti rugi