Kerajaan Arab Saudi siasat insiden gadis yatim piatu diheret, dipukul

Astro Awani
September 3, 2022 12:20 MYT
Sekumpulan individu dipercayai pegawai penguatkuasa dilihat mengheret seorang remaja dengan menarik rambutnya, manakala seorang lagi individu dilihat memukul gadis malang itu dengan tali pinggang. - Foto Twitter/@ALQST_En
ASIR: Pihak berkuasa Arab Saudi mengesahkan sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan beberapa gadis di rumah anak yatim piatu dipukul beberapa individu, dipercayai pasukan keselamatan.
Sebuah rakaman video yang tular menunjukkan kejadian itu berlaku dalam satu serbuan di Rumah Pendidikan Sosial di Khamis Mushait.
Sekumpulan individu dipercayai pegawai penguatkuasa dilihat mengheret seorang remaja dengan menarik rambutnya, manakala seorang lagi individu dilihat memukul gadis malang itu dengan tali pinggang
Seorang lagi gadis dilihat telah dikejar dan dipukul dengan sebatang kayu.

Distressing footage from Khamis Mushait orphanage showing security forces and masked men storming the site and assaulting girls who were protesting their conditions. The #Saudi authorities must open an investigation and hold the perpetrators accountable.pic.twitter.com/XuiQQ73F1c

— ALQST for Human Rights (@ALQST_En) August 31, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Situasi sebenar belum dapat disahkan, namun seorang pengguna Twitter yang mengaku memiliki rakaman video itu mendakwa, sekumpulan gadis dari rumah perlindungan itu membuat bantahan terhadap gejala rasuah dan ketidakadilan, selepas hak mereka ditolak pengurusan rumah tersebut.
Pengguna Twitter itu kemudian menerbitkan beberapa keping gambar yang menunjukkan kesan lebam gadis-gadis tersebut, dan mendakwa seorang pegawai kanan telah mengugut mereka jika video itu tidak dipadamkan dari laman media sosial.
Kumpulan Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di United Kingdom, ALQST menganggap tindakan itu adalah di luar kemanusiaan, dan menggesa pihak berkuasa Arab Saudi untuk melaksanakan siasatan dengan segera.
Mereka turut menggesa agar kesemua individu yang terlibat dalam serbuan tersebut untuk ditahan dan disiasat.
Dalam kenyataan susulan, Gabenor Wilayah Asir dilaporkan berkata, beliau telah menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat kandungan video serta dakwaan pihak berkenaan.
Insiden itu dilaporkan berlaku ketika kritikan dan perhatian dunia ditumpukan kepada hak asasi dan kebebasan kaum wanita di negara itu.
#Arab Saudi #pukul anak yatim #Bantahan #hak asasi wanita
;