Kerajaan Arab Saudi perkenal kelas yoga di universiti

Agensi
Mac 6, 2023 16:23 MYT
Kampus di negara itu akan menyokong dan mempromosikan kelas yoga dalam beberapa bulan ke depan. - Bernama
Kerajaan Arab Saudi akan memperkenalkan kelas yoga di universiti untuk meningkatkan kesihatan fizikal dan mental pelajar dan guru.
Lapor Gulf Insider, Presiden Jawatankuasa Yoga Arab Saudi Nouf Al Marwaai berkata, pusat pengajian tinggi di negara itu merancang untuk menandatangani beberapa perjanjian dengan institusinya berhubung kelas yoga.
Tambah beliau, kampus di negara itu akan menyokong dan mempromosikan kelas yoga dalam beberapa bulan ke depan.
Jelas Al Marwaai, pihaknya berusaha keras memperkenalkan yoga kepada universiti serta menekankan kepentingan mengamalkan yoga untuk kesihatan.
Menurutnya, yoga bukan sekadar proses meditasi dan menenangkan tetapi merangkumi latihan postur dan teknik pernafasan.
"Ini termasuk amalan postur Asana, teknik pernafasan Pranayama, kawalan otot Bandha, dan kemudian datang meditasi relaksasi Dhayan dan Yoga Nidra," kata Al Marwaai dalam sesi perbincangan bertajuk 'Pembangunan dan Promosi Permainan Sukan Baharu di Universiti.'
Dalam pada itu, menurut laporan Projek Borgen, kesihatan mental di Arab Saudi dilaporkan di fasa membimbangkan.
Ini kerana di beberapa kawasan, hampir keseluruhan penduduk memerlukan perkhidmatan kesihatan mental. Kerajaan juga mengakui kekurangan itu dan mengambil langkah untuk mengurangkan jumlah itu.
Sejak Putera Mahkota Mohammed bin Salman (MbS) menjadi Putera Mahkota Saudi atau pemimpin de facto pada 2017, kerajaan Islam itu terus melaksanakan beberapa siri peraturan lebih sederhana.
Sebagai contoh, Arab Saudi membenarkan mengadakan konsert, festival kebudayaan, mencampurkan lelaki dan wanita di tempat awam, meraikan Krismas, tidak melarang Hari Valentine, membuka pawagam dan arena sukan.
Sementara itu yoga pula dianggap bukan adat atau budaya negara Saudi yang berorientasikan Islam. Langkah-langkah ini adalah selaras dengan Wawasan 2030. Berdasarkan wawasan ini, Arab Saudi melonggarkan norma dan budaya demi ekonomi.
#Arab Saudi #kesihatan mental #yoga #Nouf Al Marwaai
;