Keputusan rasmi referendum Mesir hari ini

Astro Awani
Disember 25, 2012 03:11 MYT
Mesir akan mengumumkan keputusan rasmi referendum berhubung perlembagaan barunya hari ini.
Sekiranya diluluskan, ia akan membuka jalan kepada penubuhan parlimen baru dalam tempoh dua bulan.
Langkah menggubal perlembagaan baru dianggap langkah paling penting untuk menyaksikan peralihan demokrasi di negara itu, selepas tumbangnyanya Hosni Mubarak.
Keputusan tidak rasmi sebelum ini menunjukkan sekitar 64 peratus rakyat menyokong draf perlembagaan baru ini.
Bagaimanapun, pembangkang mempertahankan pendirian tidak menyokong perlembagaan baru.
Mereka mendakwa draf perlembagaan baru yang digubal oleh Presiden Mohamed Morsi, gagal dan tidak memenuhi tuntutan rakyat.
Antaranya menjamin kebebasan rakyat, hak wanita dan minoriti. Sekaligus, akan mengundang masalah yang lebih parah di negara itu.
Sehubungan itu, pemimpin pembangkang, Mohamed El Baradei, menuntut draf tersebut digubal semula.
Dalam perkembangan sama, Ketua Jawatankuasa Pilihanraya Tinggi memaklumkan, jawatankuasa terbabit menyiasat dakwaan kumpulan pembangkang berhubung penipuan pengundian.
Di bawah perlembagaan baru, kuasa badan kehakiman akan beralih kepada Dewan Tinggi.
Proses referendum kali ini turut dibayangi protes susulan tindakan Morsi mengeluarkan dekri memberi beliau lebih kuasa.
Ia menyaksikan lebih 10 maut akibat pertempuran kumpulan pro dan anti kerajaan di Kaherah yang kemudian merebak ke Iskandariah.
#Hosni Mubarak #Mesir #Mohamed El Baradei #Mohamed Morsi #perlembagaan baru