Keputusan pilihan raya Kenya dijangka hari ini
Astro Awani
Mac 8, 2013 13:37 MYT
Mac 8, 2013 13:37 MYT
Keputusan pilihan raya presiden Kenya dijangka diketahui hari ini.
Menurut Pengerusi Suruhanjaya Sempadan dan Pilihan Raya Bebas Kenya (IEBC) Isaack Hassan, pihaknya juga berharap pengisytiharan pemenang akan dapat diumumkan hari ini atau selewat-lewatnya Isnin.
Isaack turut menggesa semua pihak untuk bersikap realistik dengan kelewatan yang berlaku.
Kelewatan pengiraan undi pilihan raya presiden berpunca daripada kegagalan sistem pengiraan.
Kelewatan tersebut turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan parti-parti politik yang bertanding.
Bagaimanapun, IEBC memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan keputusan pilihan raya nanti.
Hingga kini, keadaan di Nairobi dilaporkan tenang.
Bagaimanapun, ujian terbesar selepas ini sama ada kedua-dua calon presiden dan kumpulan penyokong mereka bersedia menerima keputusan pilihan raya nanti.
Pertikaian mengenai bilangan undi yang ditolak mungkin akan meranapkan kelebihan yang diperoleh Uhurru Kenyatta sekaligus mencetuskan pilihan raya presiden pusingan kedua pada April nanti.