Keputusan kerajaan UAE yang amat memalukan
Prof Dr Mohd Nazari Ismail
Ogos 18, 2020 09:17 MYT
Ogos 18, 2020 09:17 MYT
BARU-baru ini kerajaan Emiriah Arab Bersatu atau UAE telah mengambil keputusan untuk menjalinkan hubungan dengan Israel. Keputusan ‘normalisasi’ ini telah dikutuk sekeras-kerasnya oleh pihak Palestin, negara Turki dan juga pertubuhan-pertubuhan NGO di seluruh dunia yang berjuang untuk membela rakyat Palestin daripada terus dizalimi oleh rejim Zionis Israel.
Beberapa tokoh kebudayaan Arab dan Palestin juga telah mengambil keputusan untuk memboikot majlis-majlis yang dianjurkan oleh kerajaan UAE pada masa-masa akan datang kerana merasakan bahawa keputusan UAE tersebut telah mengkhianati perjuangan pembebasan Palestin.
Ketika momentum semakin meningkat di dunia untuk memboikot negara aparteid Israel, keputusan UAE adalah sangat memeranjatkan. Ia juga adalah satu keputusan yang memalukan, menyedihkan dan layak mendapat kritikan dan kecaman daripada semua pihak, terutamanya daripada negara-negara Islam yang lain.
Sudah tentu menteri luar UAE akan berusaha mengelabui hasrat sebenar keputusannya apabila mengatakan bahawa keputusan kerajaannya adalah bertujuan untuk menghentikan pengilhakan atau rampasan tanah Palestin di Tebing Barat oleh Israel. Namun, penerangan beliau adalah sebenarnya palsu dan sangat lemah. Ini kerana keputusan tersebut telah dibuat tanpa berbincang dan mendapat persetujuan pihak kepimpinan rakyat Palestin.
Tambahan pula rejim Zionis sendiri telah mengakui bahawa mereka masih merancang untuk merampas tanah Palestin di Tebing Barat. Perdana Menteri Israel sendiri telah menyatakan bahawa mereka hanya akan menangguhkan rancangan merampas tanah di Tebing Barat untuk sementara waktu. Oleh itu, alasan yang diberikan oleh menteri luar UAE sebenarnya hanya berjaya untuk mendedahkan kebodohannya sendiri.
Lagipun, langkah mengawal dan merampas tanah Palestin oleh Israel telah pun dan masih berjalan semenjak puluhan tahun lagi dan semuanya itu adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. Oleh itu, adalah sangat tidak wajar bagi UAE membuat perjanjian damai dan mengadakan normalisasi hubungan dengan Israel sedangkan wilayah yang telah dirampas oleh Israel daripada Palestin (termasuk Baitul Maqdis) selama ini masih belum dipulangkan lagi kepada pihak Palestin. Semenanjung Gaza juga masih dikepung dan diserang oleh Israel sehingga ke hari ini.
Atas dasar itu, maka tidak hairanlah mengapa semua pihak Palestin termasuk Pihak Berkuasa Palestin (PA), Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), dan Gerakan Hamas, juga termasuk umat Islam di seluruh dunia berasa begitu marah terhadap keputusan UAE berkenaan.
Persolannya, mengapakah UAE begitu beria-ia untuk menjalinkan hubungan dengan rejim aparteid Israel ini? Jawapannya ialah kerana UAE menyangka keputusan tersebut akan membantunya mendapat pertambahan pelaburan dan perdagangan dari Amerika, Israel dan dari negara-negara Barat, di samping mendapat perlindungan ketenteraan dari Israel dan Amerika jika ia diserang oleh Iran.
Sudah tiba masanya UAE dan rejim-rejim di negara-negara Arab lain yang sedang berkuasa secara diktator dan kuku besi menyedari bahawa mereka sebenarnya telah dimanipulasi oleh rejim Zionis dan jentera propagandanya berkenaan kedua-dua isu ini.
Dari segi ekonomi, UAE perlu sedar bahawa kebanyakan negara-negara Barat kini sedang dalam keadaan kemelesetan ekonomi akibat daripada wabak Covid-19. Banyak negara Barat dalam keadaan lemah dari segi ekonomi dan sedang berharap untuk mendapat pelaburan dari luar. Dalam isu Iran pula, sebenarnya Iran tidak mempunyai kekuatan kewangan untuk terlibat di dalam peperangan dengan jirannya. Jelaslah bahawa sebenarnya isu Iran telah digunakan oleh Israel untuk memanfaatkan ketakutan dan kegelisahan rejim-rejim yang tidak demokratik di Timur Tengah termasuk UAE.
Apa yang tidak disedari oleh rejim-rejim diktator ini ialah keputusan menormalisasikan hubungan dengan Israel tanpa persetujuan rakyat mereka sendiri akan hanya menambahkan kebencian rakyat dan melemahkan kedudukan politik dan ekonomi mereka di masa akan datang.
Adalah diharapkan masyarakat antarabangsa dan semua organisasi yang inginkan perdamaian sebenar di Timur Tengah serta keadilan dan kebebasan bagi rakyat Palestin agar tidak mencontohi tindakan kerajaan UAE yang sangat memalukan ini.
Kita juga berharap supaya kerajaan Malaysia akan memberi penegasan kepada kerajaan UAE bahawa Malaysia sama sekali tidak akan menjalin hubungan dengan Israel. Kerajaan Malaysia juga harus memberikan nasihat kepada kerajaan UAE agar ia menarik balik keputusannya untuk menjalin hubungan dengan Israel, dan mengajak kerajaan UAE untuk terus bersama dengan negara-negara Islam yang lain dalam perjuangan membebaskan Palestin daripada cengkaman rejim aparteid Israel yang zalim.
* Penulis merupakan Pengerusi BDS Malaysia yang juga bertugas di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#Arab
#boikot
#Emiriah Arab Bersatu
#Gaza
#Hamas
#Israel
#negara Islam
#NGO
#Palestin
#pembebasan
#Turki
#UAE
#Zionis