Kepimpinan Lee Kuan Yew tiada tandingannya - Kay Kim

Melissa Ong
Mac 23, 2015 09:14 MYT
Kay Kim yakin legasi kepimpinan Kuan Yew akan diingati sepanjang zaman dan turut dihayati barisan pemimpin muda Singapura.
Kepimpinan yang tiada tandingannya.
Itu kesimpulan sejarahwan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang menyifatkan kepimpinan bekas Perdana Menteri Pertama Singapura Lee Kuan Yew sebagai amat luar biasa berdasarkan kemajuan memberangsangkan dikecapi republik itu.
Menurut Kay Kim antara sumbangan signifikan kepimpinan Kuan Yew ialah keupayaannya melenyapkan pengaruh komunis dan kongsi gelap di republik itu.
Jelasnya, pengaruh dua elemen negatif ketika itu amat kuat dan dikhuatiri menjejaskan keamanan Singapura.
“Beliau dapat menewaskan pihak komunis. Singapura semakin jelas dikuasai oleh pihak komunis dan Semenanjung Tanah Melayu pun takut. Dan kongsi gelap di Singapura sangat garang dan sebelum Lee Kuan Yew jadi perdana menteri, komunis dan kongsi gelap sukar dikawal tapi Kuan Yew berjaya (mengawalnya),” jelas Kay Khim.
Tambah Kay Kim, walaupun republik itu kecil dengan populasi hanya 5.47 juta namun ia menjadi tumpuan dunia.
Contohnya, negara-negara jiran yakin dengan kualiti perkhidmatan Hospital Singapura dan sering mendapatkan perkhidmatan pakar di sana.
Selain itu, ujar Kay Kim, kedudukan Singapura selaku antara daerah kewangan terkenal dunia menyaksikan ramai golongan kaya menyimpan tunai mereka di Singapura.
Ini kerana nilai dolar Singapura lebih stabil berbanding matawang serantau lain.
Berhubung hala tuju parti politik PAP, Kay Kim berkata barisan kepimpinan ketika ini mampu meneruskan perjuangan dan legasi kuan yew.
Jelasnya, Kuan Yew sudah membentuk platform yang kukuh ke arah transformasi politik yang lebih dinamik.
“Sudah ada ramai pemimpin yang memang faham apa yang telah berlaku dan mereka juga saya rasa faham bagaimana Singapura boleh mengekalkan kemajuannya kerana saya dapati Singapura pada masa sekarang sentiasanya orang yang berkebolehan diberi peluang untuk menjadi pemimpin,” ujar Kay Kim.
Kay Kim yakin legasi kepimpinan Kuan Yew akan diingati sepanjang zaman dan turut dihayati barisan pemimpin muda Singapura.
"Biar saya baca apa dia sendiri yang sebutkan. 'I am very determine, if i decide something is worth doing then i will put my heart and soul to it even if the whole ground is against me i would know what is right and i would do it.' Itu kata Lee Kuan Yew.
"Beliau ialah seorang yang penuh keazaman. Jikalau beliau mempercayai ada sesuatu yang sepatutnya dilakukan, Walaupun orang menentang beliau, beliau akan mencari jalan untuk menjayakan perkara itu," tambah Kay Kim.
#Khoo Kay Kim #Lee Kuan Yew
;