Kenya minat pelajari kepakaran Malaysia dalam penyediaan rumah mampu milik
Bernama
Jun 7, 2023 04:00 MYT
Jun 7, 2023 04:00 MYT
PUTRAJAYA: Kenya menyatakan minat dan berhasrat untuk bekerjasama, mempelajari dan mendapatkan khidmat kepakaran Malaysia dalam aspek penyediaan perumahan mampu milik negara.
Perkara itu dinyatakan Presiden Kenya, William Samoei Ruto kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam satu pertemuan ketika Nga berada di ibu negara Kenya, Nairobi, sempena Persidangan United Nations Human Settlement Programme (UN-Habitat) 2023 yang bermula 5 hingga 9 Jun.
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, delegasi Malaysia yang diketuai Nga merupakan antara dua negara yang dipilih untuk bertemu Ruto pada sesi persidangan berkenaan.
Menurut KPKT, Ruto pada pertemuan itu menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara 'gateway' kepada negara-negara di rantau ASEAN.
Nga dalam kenyataan sama berkata, Malaysia bersedia untuk bekerjasama dan berkongsi kepakaran, latihan serta amalan terbaik dengan mana-mana negara termasuk Kenya khususnya berkaitan inisiatif Malaysia dalam membangunkan sektor perumahan.
Nga pada persidangan kali ini turut menghadiri 10 sesi bilateral bersama rakan sejawat dan pegawai tertinggi dari pelbagai negara seperti China, Colombia, Bahrain, Filipina, Palestin, Qatar, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu.
Antara perkara yang dibincangkan dalam sesi bilateral itu adalah berkaitan agenda pembangunan mampan termasuk pelaksanaan inisiatif bandar pintar, pengurusan sisa pepejal serta peningkatan kerjasama antara negara.
"Kesemua sesi bilateral ini merupakan 'engagement' atau jalinan kerjasama yang sangat penting bagi Malaysia dalam meletakkan negara di persada antarabangsa.
"Perumahan mampu milik seperti yang dibangunkan oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) telah menjadi antara tarikan kepada dialog dan persidangan pada kali ini," kata Nga.
Beliau berkata, dasar dan program perumahan mampu milik negara menjadi antara model dan rujukan bagi negara-negara membangun dalam penyediaan rumah mampu milik termasuk dari aspek pembiayaan dan pembinaan rumah.
"Pada sesi tersebut (bilateral), Malaysia telah mendapat respons yang begitu positif dan dijemput untuk menyertai pelbagai acara peringkat dunia bagi berkongsi amalan terbaik Malaysia dalam sektor perumahan, pengurusan sisa pepejal dan agenda pembangunan mampan," katanya. - BERNAMA