Kenya ambil inisiatif jadi perantara untuk selesaikan krisis di Sudan
Bernama
Jun 13, 2023 17:28 MYT
Jun 13, 2023 17:28 MYT
NAIROBI: Kenya mengambil inisiatif dengan menjadi perantara untuk mempertemukan pihak yang bertelagah di Sudan bagi berunding mencari penyelesaian menamatkan krisis yang melanda negara itu, kata Presiden William Ruto pada Isnin.
"Kenya komited untuk bertemu dua jeneral Sudan secara bersemuka untuk mencari penyelesaian yang berkekalan kepada krisis itu," lapor Agensi Anadolu.
Ruto berkata demikian semasa berucap kepada media di Djibouti pada Sidang Kemuncak ke-14 Ketua-ketua Negara dan Kerajaan Pihak Berkuasa Antara Kerajaan untuk Pembangunan (IGAD).
Beliau berkata dalam masa dua minggu, koridor kemanusiaan akan diwujudkan untuk menyelaraskan penyaluran bantuan.
"Dalam tempoh tiga minggu akan datang, kami akan memulakan proses dialog nasional yang inklusif," katanya.
Turut hadir Presiden Djibouti Ismail Omar Guelleh, Presiden Salva Kiir dari Sudan Selatan, Presiden Somalia Hassan Mohamud dan Perdana Menteri Ethiopia Abiy Ahmed
Sudan kini dilanda krisis berikutan pertikaian antara dua tokoh tentera: Abdel Fattah al-Burhan, pemimpin Tentera Sudan (SAF) dan Mohamed Hamdan Dagalo, yang dikenali sebagai Hemedti, ketua pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).
Langkah itu dilakukan ketika konflik antara tentera Sudan dan RSF semakin memuncak, mengakibatkan kehilangan hampir 1,000 nyawa dan beribu-ribu lagi cedera sejak 15 April.
Gencatan senjata yang disepakati tidak dipatuhi kedua-dua pihak, sebaliknya saling menyalahkan antara satu sama lain.
Sejak Oktober 2021, apabila tentera memecat kerajaan peralihan Perdana Menteri Abdalla Hamdok dan mengisytiharkan darurat, Sudan telah mempunyai kerajaan yang berfungsi.
Tempoh peralihan yang bermula pada Ogos 2019 berikutan penyingkiran Presiden Omar al-Bashir pada awalnya dijadual berakhir dengan pilihan raya pada tahun 2024.
-- BERNAMA