Kenduri monyet Lopburi meriah, bantu tingkat pelancongan Thailand

Faida Rahim
November 29, 2022 16:32 MYT
Pesta monyet ini merupakan acara berjaya yang membantu mempromosikan pelancongan Lopburi dalam kalangan pelancong antarabangsa setiap tahun.- AP Newsroom
BANGKOK: Festival monyet tahunan Thailand telah berlangsung meriah di Lopburi baru-baru ini.
Di pesta berkenaan, deretan dulang patung monyet diletakkan di perkarangan kuil purba Ancient Three Pagodas manakala sejumlah sukarelawan menyediakan makanan untuk monyet hidup yang menjadi simbol wilayah Lopburi, sekitar 150 kilometer (93 batu) di utara ibu kota Bangkok.
Memetik laporan AP News, ribuan monyet dilihat berkejar mendapatkan makanan sambil berebut ketika ‘jamuan’ diadakan dan tidak lama kemudian memakan hamparan hidangan yang sebahagian besarnya sayuran.
“Pesta kenduri monyet ini merupakan acara berjaya yang membantu mempromosikan pelancongan Lopburi dalam kalangan pelancong antarabangsa setiap tahun,” kata Yongyuth Kitwatanusont, pengasas festival tahunan monyet itu.
Difahamkan, terdapat peningkatan sebanyak 300 ekor monyet tahun ini menjadikan jumlah populasi haiwan itu sebanyak 4,000 ekor ketika ini.
“Lopburi dikenali sebagai bandar monyet yang bermaksud monyet dan manusia boleh hidup dalam harmoni.
“Keharmonian seperti itu dapat dilihat dengan kurangnya rasa takut mahupun malu oleh monyet di situ yang selesa bergayut pada pengunjung, kenderaan dan tiang lampu,” katanya.
Salah seorang pengunjung, Ayisha Bhatt, seorang guru Bahasa Inggeris dari California, Amerika Syarikat yang bekerja di Thailand menceritakan pengalaman ‘diganggu’ monyet ketika berada di sana.
“Ada seekor monyet memanjat di belakang ketika saya cuba mengambil gambar sendiri. Dia mengambil cermin mata hitam itu terus dari muka saya dan berlari ke atas tiang lampu dan cuba memakannya,” katanya.
Dalam masa sama, Carlos Rodway, seorang pelancong dari Cadiz, Sepanyol memberitahu para pengunjung perlu berhati-hati di sana dan perlu berada pada jarak yang selamat.
Festival ini merupakan tradisi tahunan di wilayah Lopburi dan diadakan sebagai cara untuk menunjukkan penghargaan kepada monyet kerana membawa keuntungan dalam sektor pelancongan.
Tema tahun ini adalah "monyet memberi makan monyet," penawar kepada tahun sebelum ini di mana penyertaan monyet telah berkurang disebabkan bilangan pelancong yang tinggi sehingga menakutkan haiwan itu. -- Agensi
#Bangkok #pelancongan #pesta monyet
;