Kenapa terima pendatang dari negara lubang najis? - Donald Trump
Agensi
Januari 12, 2018 11:53 MYT
Januari 12, 2018 11:53 MYT
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump terus mengeluarkan kenyataan celuparnya terhadap pendatang asing di negara itu.
Kali ini Trump mempersoalkan kenapa negara Uncle Sam itu menerima pendatang daripada negara yang dilabelkannya sebagai 'lubang najis'.
Memetik laporan The Washington Post, Trump mengeluarkan kenyataan menghina itu di pejabatnya di White House pada Khamis.
"Mengapa kita benarkan rakyat dari negara 'lubang najis' datang ke negara ini?," persoal Trump di hadapan pembuat dasar dari Republikan dan Demokrat.
Kenyataan berbaur penghinaan dari Presiden ke-45 AS itu merujuk kepada beberapa negara iaitu Haiti, El Salvador dan beberapa negara Afrika.
White House tidak membuat penafian sebaliknya mempertahankan kenyataan Trump itu yang telah disebar secara meluas oleh media AS.
"Ada dalam kalangan ahli politik Washington yang memilih untuk berjuang bagi negara asing, namun Trump sentiasa berjuang untuk rakyat Amerika," jelas jurucakap White House Raj Shah menerusi satu kenyataan.
Jelas Shah lagi Trump ketika ini berjuang bagi mendapatkan penyelesaian muktamad dalam isu pendatang di negara itu.
"Matlamat Trump hanya pendatang yang mampu menyumbang kepada kekuatan ekonomi dan keutuhan masyarakat dibenarkan menetap di negara itu," tambah Shah ketika mepertahankan tindakan ketuanya itu.
The New York Times tiga minggu lalu melaporkan Trump mengeluarkan kenyataan menghina terhadap pendatang Haiti dengan mendakwa mereka semua dijangkiti AIDS.
Kenyataan itu dibuat Trump dalam mesyuarat berkaitan pendatang pada Jun lalu.
Trump pada awal tahun lalu mencetuskan kontroversi apabila mengharamkan sementara pelancong dari Syria dan enam negara Islam lain iaitu Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman dari memasuki AS.
Dakwaan Trump itu bertujuan menghalang AS daripada jadi sasaran serangan pengganas.
#Afrika
#AIDS
#Amerika Syarikat
#AS
#Donald Trump
#El Salvador
#Haiti
#lubang
#New York
#pendatang
#tahi
#White House