Kenapa menteri Jamaica menangis, menyanyi lagu Bob Marley dalam sidang UNESCO?
Agensi
Disember 3, 2018 10:12 MYT
Disember 3, 2018 10:12 MYT
DELEGASI Jamaica ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) begitu sebak dan bangga apabila irama reggae akhirnya diiktiraf sebagai warisan kebudayaan tidak ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB (UNESCO), minggu ini.
Delegasi yang diketuai oleh Menteri Kebudayaan Olivia Grange itu, bersorak dan menitiskan air mata apabila keputusan itu dicapai dalam satu sidang pertubuhan tersebut, Khamis lalu.
Sebagai tanda mereka sangat berterima kasih dengan pengesahan tersebut, seluruh dewan diajak menyanyi lagu popular dendangan Bob Marley, One Love.
Grange yang sangat gembira dengan kejayaan mengetengahkan khazanah negaranya itu mengucapkan penghargaan yang tidak terhingga kepada jawatankuasa penilai UNESCO, seterusnya mengajak semua orang yang berada dalam dewan tersebut bangun dan menyanyikan bersama lagu ikonik daripada Marley tersebut.
Delegasi Jamaica memainkan lagu itu menerusi pembesar suara, sekali gus menukar sidang rasmi itu seperti sebuah pesta yang penuh keseronokan. Malah ramai yang alkhirnya bangun, menggoyangkan badan, menyanyi dan bertepuk tangan mengikut melodi lagu berkenaan.
Reggae, yang dikenali sebagai wadah mempromosi keamanan dan kasih sayang, berasal dari Kingston, Jamaica sekitar tahun 1960-an. Ia juga menjadi medium untuk menyampaikan mesej tentang protes dan juga perjuangan dalam strata masyarakat.
UNESCO mengiktiraf reggae sebagai ‘satu elemen yang menyumbang kepada dunia khususnya berkaitan isu ketidakadilan, penentangan, kasih sayang dan kemanusiaan, selain mempunyai nilai sosiopolitik, sensual dan spiritual’.