Kenapa kerjasama Samsung x Supreme dikritik hebat? Ini penjelasan sebenar
Firdaus Alauddin
Disember 12, 2018 19:05 MYT
Disember 12, 2018 19:05 MYT
GERGASI teknologi Korea Selatan, Samsung dilaporkan menerima kritikan hebat selepas didakwa mengumumkan kerjasama dengan jenama palsu milik syarikat gaya hidup dari Amerika Syarikat, Supreme NYC.
Berdasarkan laporan media atas talian, The Verge, pada Isnin, Samsung sebenarnya bekerjasama dengan jenama Supreme Italia, sebuah syarikat yang berjaya mendapatkan hak untuk menggunakan jenama Supreme di China, namun tiada kaitan dengan syarikat Supreme yang lebih popular itu.
Supreme Italia merupakan salah sebuah syarikat yang juga terlibat dalam perniagaan berkaitan gaya hidup namun sering dilihat mencabar undang-undang harta intelek yang tidak jelas.
Ia menggunakan logo perusahaan lain, tapi mendaftarkan tanda dagangnya sendiri di Itali, dan dilindungi oleh undang-undang negara itu.
Baru-baru ini syarikat itu telah berjaya mendapatkan hak cipta dalam satu kes di mahkamah Itali, dan berhak untuk menggunakan logonya yang seiras dengan Supreme NYC.
Kini, Supreme Italia mempunyai rancangan untuk melancarkan perniagaannya di China untuk kali pertama bermula tahun depan, dengan Samsung dinamakan rakan perniagaan utamanya.
Samsung belum mengumumkan jenis produk yang akan datang dari usaha kolobarasinya dengan Supreme Italia itu.
Sebaliknya dilihat menggunakan pengumuman ini untuk mencetuskan spekulasi.
Syarikat Supreme, jenama fesyen yang berpangkalan di New York City yang terkenal dengan logo kotak, sering berkolaborasi dengan jenama popular lain seperti Louis Vuitton, dan mengeluarkan barang-barang edisi terhad - berkata dalam ulasan kepada media atas talian, Hypebeast bahawa syarikat itu tidak bekerjasama dengan Samsung atau membuka sebarang gedung di kota Beijing.
"Tuntutan ini palsu dan disebarkan oleh organisasi palsu," kata seorang jurucakap.
Ketika Samsung mengumumkan kerjasama dengan Supreme Italia, kedua-dua Ketua Pegawai Eksekutif syarikat terbabit berada di atas pentas.
Menurut Pengarah Pemasaran Samsung China, Feng En golongan muda ketika ini inginkan keunikan dalam bergaya.
“Untuk memperlihatkan gaya tersebut, kita mempunyai dua jenama awalan yang bermula dengan huruf S,’’ katanya.
Dua jenama yang dimaksudkannya adalah Samsung dan Supreme. Dalam pengumuman ini, jenama tersebut yang dirujuk adalah Supreme Italia.
Setelah menyampaikan pengumuman tersebut Pengurus Pemasaran Digital Samsung China, Leo Lau, memberikan penjelasan bahawa Samsung tidak bekerjasama dengan jenama Supreme yang asli.
“Kami bekerjasama dengan Supreme Italia dan bukannya Supreme NYC.
“Supreme Italia tidak memilik hak penjualan dan pemasaran di China, tetapi ia memiliki hak pemasaran dan penjualan produk di rantau Asia Pasifik (kecuali Jepun).
#Amerika Syarikat
#Asia
#Beijing
#Belia
#China
#Itali
#Jepun
#mahkamah
#New York
#Samsung
#supreme
#undang-undang