AS kenakan sekatan terhadap pihak bertelagah di Sudan
Bernama
Jun 2, 2023 16:56 MYT
Jun 2, 2023 16:56 MYT
WASHINGTON: Amerika Syarikat pada Jumaat mengumumkan sekatan ke atas pihak yang berperang di Sudan kerana mengancam keamanan, keselamatan dan kestabilan negara Afrika itu, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Setiausaha Negara AS Antony Blinken mengumumkan langkah mempromosikan "kebertanggungjawaban terhadap tindakan" yang dilakukan oleh Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).
AS akan mengenakan sekatan visa ke atas individu "yang bertanggungjawab, atau terlibat menjejaskan peralihan demokrasi Sudan".
Tindakan itu sebagai tindak balas kepada pelanggaran SAF dan RSF terhadap kewajipan mereka seperti dipersetujui di Jeddah, kata Blinken.
Bulan lalu, delegasi antara kedua-dua pihak bertemu di Arab Saudi dan bersetuju melindungi penduduk awam dan membenarkan bantuan kemanusiaan.
Pelanggaran itu termasuk "menjarah, pendudukan dan serangan ke atas kediaman dan infrastruktur awam, penggunaan bom udara dan artileri, serangan dan sekatan pergerakan, termasuk menghalang bantuan kemanusiaan dan pemulihan perkhidmatan penting."
"Kami bersedia untuk meneruskan langkah-langkah tambahan dan terus terlibat dengan pihak-pihak untuk berusaha ke arah memberi bantuan kemanusiaan tanpa halangan dan memulihkan keamanan, keselamatan dan kestabilan Sudan," kata Blinken.
Pejabat Kawalan Aset Asing Jabatan Perbendaharaan AS (OFAC) menetapkan empat syarikat yang menjana pendapatan dan menyumbang kepada konflik di Sudan, katanya.
"Melalui sekatan, kami mengehntikan aliran kewangan utama kepada kedua-dua pasukan RSF dan SAF, menafikan mereka daripada sumber yang diperlukan untuk membayar askar, membekalkan semula senjata dan melancarkan perang di Sudan," kata Setiausaha Perbendaharaan Janet Yellen dalam satu kenyataan.
"Amerika Syarikat berdiri di samping orang awam, menentang mereka yang mengekalkan keganasan terhadap rakyat Sudan," katanya.
-- BERNAMA