AS kenakan larangan perjalanan terhadap dua tentera Rusia
Bernama
November 21, 2023 12:23 MYT
November 21, 2023 12:23 MYT
WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengenakan larangan perjalanan ke atas dua pegawai tentera Rusia yang dituduh "terlibat dalam pencabulan hak asasi manusia" di timur Ukraine, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kerajaan AS menuduh Azatbek Omurbekov yang juga dikenali sebagai "Butcher of Bucha" melakukan "pembunuhan terhadap rakyat Ukraine yang tidak bersenjata", menurut Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan.
Kesatuan Eropah turut mengenakan sekatan ke atas Omurbekov kerana bertanggungjawab terhadap pembunuhan, rogol dan penyeksaan di Bucha.
Kerajaan AS juga mengenakan sekatan terhadap Daniil Frolkin.
"Laporan mengatakan bahawa Omurbekov dan Frolkin terlibat dalam pencabulan hak asasi manusia, seperti yang didokumentasikan oleh badan bukan kerajaan (NGO) serta siasatan bebas ...," menurut Jabatan Negara AS.
Susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, kerajaan AS telah mengenakan pelbagai sekatan terhadap Moscow, institusi Rusia atau sekutu Presiden Vladimir Putin termasuk unit tentera Rusia.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat
#larangan perjalanan
#pegawai tentera Rusia
#Azatbek Omurbekov
#Daniil Frolkin
#Ukraine
#hak asasi
#Rusia