Kemungkinan didenda, industri kereta EU keluarkan amaran jutaan pekerjaan terancam

Bernama
September 14, 2024 06:45 MYT
Pengeluar Eropah juga bergelut dengan persaingan daripada import kenderaan elektrik yang lebih murah daripada pengeluar kereta luar EU seperti China. - Gambar hiasan/Sinar Harian
BRUSSELS: Sebuah badan industri bagi pengeluar kereta Eropah memberi amaran tentang jutaan pekerjaan terancam berikutan kemungkinan pengeluar dikenakan denda peraturan iklim dalam satu kertas dalaman yang dilihat oleh agensi berita Jerman (dpa) pada Sabtu.
Industri tidak berada dalam posisi untuk mematuhi pengetatan peraturan iklim Kesatuan Eropah (EU) yang akan datang, menurut kertas dalaman daripada Persatuan Pengeluar Automobil Eropah (ACEA), dan akibatnya, "akan berdepan penalti berbilion euro".
Bagi mengelakkan denda itu, industri "tidak mempunyai banyak pilihan selain mengurangkan pengeluaran secara signifikan, yang mengancam jutaan pekerjaan di EU", kata kertas dalaman itu.
Amaran kepada pengawal selia EU ini muncul apabila pengeluar menyedari bahawa mereka mungkin tidak dapat memenuhi sasaran iklim EU dalam banyak kes, yang boleh mengakibatkan denda tinggi bagi industri kereta Eropah.
Secara khusus, peraturan tersebut berkaitan dengan apa yang dipanggil had flit. Ia menetapkan had bagi pelepasan karbon dioksida (CO2) kereta yang mana purata semua kenderaan yang didaftarkan di EU dalam tahun tertentu tidak boleh melebihi.
Pada masa ini, nilainya adalah 115.1 gram CO2 sekilometer setiap kenderaan - diukur menggunakan prosedur ujian WLTP. Ia dijadualkan menurun kepada 93.6 gram pada 2025 dan 49.5 gram pada 2030.
Pengeluar kereta mesti membayar denda kerana melepaskan terlalu banyak CO2. Untuk kekal dalam had itu, pengeluar kereta mesti menjual sejumlah kenderaan elektrik dan kereta dengan pelepasan yang lebih rendah.
Fakta bahawa sasaran iklim EU ini tidak mungkin dicapai sebahagiannya disebabkan permintaan untuk kenderaan elektrik dalam blok berkenaan yang kini kurang daripada jangkaan.
Pengeluar Eropah juga bergelut dengan persaingan daripada import kenderaan elektrik yang lebih murah daripada pengeluar kereta luar EU seperti China.
ACEA berkata sebagai respons kepada pertanyaan bahawa ia sedar tentang kertas dalaman berkenaan tetapi menegaskan ia bukan kertas rasmi daripada badan industri itu.
-- BERNAMA
#pengeluar kereta Eropah #pekerjaan terancam #denda peraturan iklim #EU
;