Kemungkinan Daish kembangkan fahaman di selatan Thai adalah tipis - Pakar

Bernama
Januari 19, 2016 19:10 MYT
Pada ketika ini, (militan Daesh) belum ada pengaruh atau hubungan ideologi di kawasan selatan Thai. Gambar menunjukkan Ahli Jawatankuasa Agenda Wanita Selatan Thailand yang menyeru menjauhi keganasan pada tahun lalu. - Gambar fail
Walaupun kemungkinan kumpulan militan Daish mengembangkan fahaman mereka di selatan Thai yang sedang bergolak kini adalah tipis, tetapi bahaya perkara itu berlaku tidak boleh ditolak sepenuhnya, menurut seorang pakar tentang pergolakan di wilayah itu.
Pengarah Centre for Conflict Studies and Cultural Diversity Dr Srisompop Jitpirom berkata, pada ketika ini tidak ada tanda-tanda elemen radikal kumpulan militan Daish telah bertapak atau menjalin hubungan di selatan Thai.
"Pada ketika ini, (militan Daesh) belum ada pengaruh atau hubungan ideologi di kawasan selatan Thai. Walaupun peluang untuk perkara itu berlaku adalah sedikit, tetapi ia masih boleh berlaku," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Kumpulan pejuang pembebasan di selatan Thai katanya, berlandaskan perjuangan mereka di atas dasar ideologi etnik, latar belakang sejarah dengan berasaskan kepada agama Islam.
Menurut Srisompop, kumpulan pejuang pembebasan selatan Thai terbabit tidak berjuang di atas dasar fahaman agama Islam yang radikal atau menjadikan konflik di wilayah itu sebagai pergolakan agama.
"Maka sebab itulah peluang kumpulan Daish atau Al-Qaeda untuk menyerlah di wilayah selatan Thai adalah amat sedikit," katanya yang berpengalaman memantau konflik di selatan negara itu sejak 2004.
Menurut Srisompop, beliau juga pernah terlibat dalam proses damai antara Thailand dengan kumpulan pembebasan selatan negara itu di bawah kendalian Malaysia yang bertindak sebagai fasilitator.
Laporan media baru-baru ini mengatakan kumpulan serpihan militan Daish di Asia Tenggara dinamakan "Katibah Nusantara" yang dianggotai rakyat Malaysia dan Indonesia sedang melebarkan sayap serta merekrut anggota baharu.
Katibah Nusantara dipercayai bertanggungjawab terhadap serangan di Jakarta baru-baru ini yang mengorbankan lapan orang.
Srisompop juga berkata proses damai selatan Thai yang sedang berlangsung antara Bangkok dengan Mara Patani, organisasi payung kepada enam kumpulan pembebasan wilayah itu turut berperanan dalam mengurangkan kemungkinan jalinan hubungan dengan kumpulan militan Daish.
Bangkok dan Mara Patani berunding bagi menyelesaikan konflik berdekad di selatan Thai, yang sehingga kini telah mengorbankan ribuan nyawa.
#daish #fahaman radikal #Selatan Thai #Srisompop Jitpirom
;