Kemuncak majlis kahwin RM700 juta anak lelaki terkaya Asia, Mukesh Ambani hari ini

Agensi
Julai 12, 2024 01:00 MYT
Perkahwinan Anant Ambani dan teman wanitanya, Radhika Merchant akan berlangsung hari ini dalam upacara tradisional Hindu di Pusat Konvensyen Dunia Jio. - Gambar REUTERS
MUMBAI: Selepas berbulan perayaan mewah tersebar di seluruh dunia, majlis perkahwinan anak lelaki terkaya Asia akan berlangsung hari ini.
Anant Ambani, anak kepada Pengerusi Reliance Industries, Mukesh Ambani akan disatukan dengan Radhika Merchant, anak kepada taikun farmasi, Viren dan Shaila Merchant.
Perayaan perkahwinan yang dibuat secara mewah dan besar-besaran selama empat hari di bandar Mumbai merupakan yang terakhir dalam rangkaian pesta mewah yang dianjurkan keluarga hartawan itu sejak Mac lalu.
Selama empat hari pesta berlangsung, jutawan berkenaan menerbangkan bintang-bintang pop Hollywood seperti Rihanna dan Justin Bieber untuk menghiburkan tetamu jemputan sekali gus menarik perhatian dunia.
Namun begitu, majlis anjuran keluarga Ambani itu tidak disenangi penduduk tempatan kerana acara berkenaan hanya mengundang kesesakan lalu lintas, tidak kurang sebilangan besar yang lain mempersoalkan paparan kekayaan yang megah pada pesta yang kelihatan tidak berkesudahan.
Mukesh Ambani, 66, pada masa ini berada dalam senarai orang ke-10 terkaya di dunia dengan nilai bersih kekayaannya ialah AS$115 bilion, menurut Forbes.
Reliance Industries, yang diasaskan oleh bapanya pada 1966 ialah sebuah konglomerat besar yang beroperasi dalam sektor daripada petroleum dan runcit kepada perkhidmatan kewangan dan telekomunikasi.
Pengantin lelaki, Anant Ambani pula merupakan anak bongsu daripada tiga anak jutawan itu yang kesemuanya menganggotai Reliance Industries.
Lelaki berusia 29 tahun itu terlibat dalam perniagaan tenaga Reliance dan sebahagian daripada Lembaga Yayasan Reliance.
Annant dan pasangannya akan melangsungkan perkahwinan mereka dalam upacara tradisional Hindu di Pusat Konvensyen Dunia Jio.
Laporan media menyebut, mereka sekeluarga akan mengadakan majlis resepsi besar-besaran sepanjang hujung minggu, sebelum majlis resepsi terakhir untuk kakitangan kediaman mereka pada Isnin.
Sementara di pelbagai laman media sosial mencadangkan penyanyi ternama, Adele diundang untuk mengadakan persembahan pada majlis perkahwinan itu, namun, tiada sebarang pengesahan daripada keluarga berkenaan.
Polis Mumbai mentakrifkan perkahwinan itu sebagai "acara umum" kerana ia akan turut dihadiri oleh beberapa tokoh kenamaan antarabangsa dan India, lapor agensi berita Reuters.
Dalam perkembangan sama, polis turut mengadakan sekatan lalu lintas di sekitar tempat acara berlangsung.
Dari Jumaat hingga Isnin, jalan di sekitar pusat konvensyen akan dibuka hanya untuk "kenderaan acara" antara pukul 1 tengah hari hingga tengah malam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penyediawaan pesawat peribadi Club One Air, Rajan Mehra memberitahu Reuters, keluarga Ambani telah menyewa tiga jet Falcon-2000 untuk membawa tetamu perkahwinan ke acara itu.
"Para tetamu datang dari seluruh negara dan setiap pesawat akan membuat beberapa perjalanan ke seluruh negara," katanya.
Sekatan itu juga telah mencetuskan kemarahan penduduk kota yang mengatakan mereka sudah bergelut dengan kesesakan lalu lintas dan banjir monsun.
Pesta perkahwinan bermula pada Mac lalu apabila keluarga itu mengadakan parti pra-perkahwinan selama tiga hari di negeri asal mereka di Gujarat.
Antara 1,200 tetamu yang menghadiri sambutan itu ialah selebriti antarabangsa, ahli politik dan ahli dunia perniagaan termasuk Mark Zuckerberg dari Meta dan Bill Gates dari Microsoft.
Majlis dimulakan dengan persembahan Rihanna pada malam pertama.
Diljit Dosanjh, penyanyi Punjabi pertama yang membuat persembahan di Coachella pula beraksi pada malam kedua, sementara penyanyi rap Akon menutup persembahan pada hari terakhir perayaan.
Pada bulan Jun pula, keluarga Ambani menganjurkan satu lagi perayaan pra-perkahwinan, kali ini, pelayaran mewah dari Itali ke Perancis.
Artis-artis antarabangsa iaitu The Backstreet Boys, Katy Perry dan Pitbull telah diundang untuk membuat persembahan kepada 800 tetamu, termasuk bintang Bollywood dan pemain kriket.
Pada pusingan akhir pesta perayaan yang bermula awal minggu ini pula, Bieber mendarat di Mumbai.
Media sosial telah dibanjiri dengan gambar dan video dia menyanyi di hadapan penonton.
Keluarga Ambani turut membelanjakan sejumlah wang untuk membina 14 buah kuil di dalam kompleks yang luas di Jamnagar dalam usaha mempamerkan warisan budaya India dan menyediakan latar belakang perkahwinan.
Mengisi sebahagian daripada agenda perayaan itu, keluarga jutawan itu turut menganjurkan majlis perkahwinan besar-besaran untuk 50 pasangan yang kurang bernasib baik.
Sementara, pada Rabu lalu, keluarga itu menganjurkan bhandara - jamuan komuniti untuk orang yang kurang bernasib baik.
Keluarga Ambani tidak mendedahkan berapa banyak kos perkahwinan ini yang dikeluarkan, namun, perancang perkahwinan menganggarkan mereka telah membelanjakan antara AS$132 juta (RM620 juta) hingga AS$156 juta (RM732 juta).
Dikhabarkan Rihanna sahaja dibayar AS$7 juta (RM32.8 juta) untuk persembahannya, manakala angka yang dicadangkan untuk Bieber pula sebanyak AS$10 juta (RM47 juta). - Agensi
#Mukesh Ambani #perkahwinan mewah #keluarga ambani #Anant Ambani dan Radhika Merchant