Kemuncak kemarahan Indonesia setelah hilang AS$24 bilion dari lautnya

Astro Awani
Disember 7, 2014 18:01 MYT
Pihak berkuasa Indonesia bertindak memusnahkan tiga buah bot nelayan Vietnam pada Jumaatlalu di perairan Anambas. - Foto AFP
Ketegasan pemerintah Indonesia sampai ke kemuncaknya setelah sekian lama mereka mendakwa hasil industri perikanan republik itu 'dicuri' nelayan penceroboh dari negara-negara jiran secara terang-terangan.
Di bawah kepimpinan Joko Widodo yang dilihat bersungguh-sungguh mahu membela isu itu, sentimen tersebut disemarakkan, lebih-lebih lagi dengan mendedahkan taksiran nilai kerugian hasil laut berjumlah AS$24 bilion (RM84 bilion).
Bermula dengan beberapa kenyataan keras dari Jakarta dan disusuli pelan tindakan pihak berkuasanya, perkembangan terbaru di perairan Pulau Anambas, Kepulauan Riau baru-baru ini membuka mata ramai pihak.
Indonesia akan meneliti keberkesanan tindakannya menenggelamkan kapal nelayan asing yang beroperasi secara haram dalam kawasan perairannya selepas ia bertindak memusnahkan tiga buah bot nelayan Vietnam pada Jumaat.
"Kita akan ukur secara objektif apakah setelah penenggelaman kapal asing ini hasil tangkapan nelayan kita meningkat, eksport kita meningkat, kesejahteraan nelayan meningkat?" tulis Presiden Joko Widodo di laman Facebooknya hari ini.
Tambah beliau, tentera laut Indonesia juga akan meningkatkan kawalan dengan lebih intensif bagi menjamin perairannya bersih daripada perikanan haram.
Jokowi menegaskan penenggelaman kapal nelayan asing itu bukan bertujuan untuk menunjukkan kekuasaan atau pertunjukan politik tetapi ia bersangkut dengan soal prinsip kedaulatan wilayah.
Tentera Laut Indonesia pada Jumaat menenggelamkan tiga bot nelayan haram dari Vietnam yang sebelum itu ditahan dekat perairan Kepulauan Riau pada 2 Disember lepas.
Tiga buah bot itu ditenggelamkan satu persatu dengan ledakan yang dilepaskan daripada kapal peronda KN Bintang Laut, lapor portal berita Tempo. Operasi pemusnahan itu dibuat selepas mendapat perintah mahkamah.
Nelayan bot berkenaan sebelum itu dipindahkan ke sebuah kapal laut yang lain dan turut menyaksikan operasi tersebut. Menurut laporan media, mereka akan dihantar pulang ke Vietnam dalam masa yang terdekat.
Indonesia sebelum ini memberi amaran akan melaksanakan tindakan tegas itu bagi menyekat kegiatan mencuri hasil laut yang merugikan negara yang dianggarkan mencecah berbilion ringgit.
Jokowi ketika itu dilaporkan berkata hanya dengan tindakan tegas itu saja nelayan asing akan takut untuk terus menjarah kekayaan laut Indonesia.
Sementara itu, Tempo yang memetik kenyataan pegawai kanan tentera laut Indonesia melaporkan tindakan seperti ini bukan yang pertama tetapi pernah dilakukan beberapa kali ke atas kapal nelayan Thailand dan Filipina pada 2003.
Berbanding presiden sebelum ini, Susilo Bambang Yudhoyono, Jokowi menunjukkan sikap yang lebih tegas dalam menjaga kepentingan ekonomi republik itu.
Bekas Menteri Kelautan dan Perikanan dalam kabinet Susilo, Freddy Numberi baru-baru ini mendedahkan bagaimana beliau pernah memutuskan membakar kapal nelayan dari Vietnam tetapi ditegur oleh Susilo dengan alasan menjaga hubungan baik diplomatik.
#bom #Indonesia #Jokowi #kapal #nelayan asing #perikanan haram #Vietnam
;