Kempen UAE 1 Bilion Meals Endowment cecah AS$140 juta dalam tempoh 15 hari
Bernama
April 9, 2023 15:29 MYT
April 9, 2023 15:29 MYT
DUBAI: Kempen "1 Billion Meals Endowment", yang dilancarkan oleh Naib Presiden dan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, bagi menubuhkan dana pembiayaan bantuan makanan terbesar sempena Ramadan, telah mencatatkan jumlah sumbangan sebanyak AED 514 juta (US$140 juta) selepas 15 hari pelancarannya.
Jumlah berkenaan disumbangkan oleh 87,000 penyumbang utama, individu, perniagaan serta institusi awam dan swasta yang membuktikan budaya memberi dan kemurahan hati di UAE, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Menteri Hal Ehwal Kabinet dan Ketua Setiausaha Inisiatif Global, Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Mohammad Abdullah Al Gergawi, menyatakan bahawa kempen itu bertujuan menyediakan jaringan keselamatan makanan untuk penduduk yang kurang bernasib baik di seluruh dunia.
Kempen "1 Billion Meals Endowment" didorong hasil bantuan makanan yang dilancarkan sebelum ini atas inisiatif Sheikh Mohammed sejak tiga tahun lalu.
"10 Million Meals" pada Ramadan 2020, merupakan solidariti yang pertama dan terbesar seumpamanya, menyokong mangsa pandemik COVID-19 di UAE.
Ia diikuti dengan kempen "100 Million Meals" pada Ramadan 2021 yang merupakan kempen sokongan makanan serantau terbesar merangkumi 20 negara di rantau Arab, Afrika dan Asia.
"1 Billion Meals" tahun lepas adalah kempen terbesar seumpamanya di peringkat serantau, menyediakan 1 bilion makanan buat 50 negara dan memajukan sumbangan UAE kepada usaha global untuk membasmi kelaparan.
Di tengah-tengah sambutan yang semakin meningkat ini, kempen "1 Billion Meals Endowment" terus mengalu-alukan sumbangan dan dana pembiayaan daripada institusi dan individu merentasi lima saluran utama termasuk laman sesawang kempen (www.1billionmeals.ae). - BERNAMA