Kempen pilihan raya Kamala Harris kumpul AS$200 juta dalam seminggu

Agensi
Julai 28, 2024 23:30 MYT
Kempen pemilihan Kamala Harris telah mengumpul sAS$200 juta (RM931 juta) selain merekodkan pendaftaran 170,000 sukarelawan baharu dalam masa seminggu sejak beliau diumumkan sebagai calon Presiden bagi Parti Demokrat. - Gambar fail REUTERS
WASHINGTON: Kempen pemilihan Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris pada Ahad telah mengumpul sebanyak AS$200 juta (RM931 juta) selain merekodkan pendaftaran 170,000 sukarelawan baharu dalam masa seminggu sejak beliau diumumkan sebagai calon Presiden bagi Parti Demokrat.
Presiden Joe Biden menamatkan bidaan pemilihan semulanya pada Ahad lalu dan menyokong Harris untuk menggantikan beliau dalam pilihan raya pada 5 November depan menentang bekas Presiden Donald Trump.
"Dalam minggu sejak kami memulakan kempen, KamalaHarris telah mengumpulkan AS$200 juta dolar. Sebanyak 66 peratus sumbangan adalah daripada penderma baharu. Kami juga telah mendaftar 170,000 sukarelawan baharu," kata Timbalan Pengurus Kempen Harris, Rob Flaherty dalam hantaran di akaun X.
Sepanjang seminggu minggu lalu, tinjauan yang dilakukan oleh Reuters dan Ipsos, menunjukkan Harris dan Trump pada dasarnya terikat antara satu sama lain sekali gus menjadikan tempoh kempen 100 hari menjelang pilihan raya sebagai sengit bagi kedua-dua calon.
Sehingga awal bulan ini, kempen Trump telah mengumpulkan AS$331 juta (RM1.54 bilion) iaitu dari April hingga Jun selain terdapat wang tunai sedia ada sebanyak AS$284.9 juta (RM1.33 bilion).
Harris telah mendapat sokongan daripada majoriti perwakilan ke Konvensyen Nasional Demokratik yang jelas memperlihatkan kemungkinan beliay akan menjadi calon Presiden parti yang akan dibuat dalam undian rasmi bulan depan.
"Naib Presiden (Harris) adalah calon (Presiden) yang dijangka. Kami akan melaksanakan undian rasmi pada 1 Ogos," kata Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Demokrat, Jaime Harrison kepada MSNBC pada Ahad.
Biden menarik diri daripada pilihan raya ketika persoalan umur dan faktor kesihatannya menjadi bahan perbincangan umum berikutan prestasi perdebatan beliau dengan Trump yang goyah pada akhir Jun.
Biden, bagaimanapun, berikrar untuk kekal memegang jawatan sebagai Presiden AS sehingga penggalnya berakhir pada 20 Januari 2025.
Keputusan Harris mengambil alih kedudukan Biden telah menghidupkan semula kempen yang telah terjejas teruk di tengah-tengah keraguan Demokrat berhubung peluang Biden mengalahkan Trump atau keupayaannya untuk terus mentadbir negara sekiranya beliau menang.
Tinjauan yang dilakukan menunjukkan Trump telah mendahului Biden selepas prestasi perdebatan Biden yang teruk.
Tidak ketinggalan, tinjauan kebangsaan New York Times dan Siena College yang diterbitkan pada Khamis mendapati Harris telah mengecilkan apa yang telah menjadi petunjuk pengaruh Trump yang cukup besar manakala Trump mempunyai dua mata peratusan mendahuluinya dalam tinjauan pendapat Wall Street Journal yang diterbitkan pada Jumaat.
Sementara tinjauan Reuters-Ipsos yang diterbitkan pada 23 Julai menunjukkan kelebihan dua mata untuk Harris.
Mitch Landrieu, pengerusi bersama kempen berkata, Harris "mempunyai salah satu minggu terbaik yang
pernah kita lihat dalam politik dalam 50 tahun lalu."
"Ini akan menjadi pertandingan yang sangat sengit," katanya. - Reuters
#Pilihan Raya Presiden AS #Joe Biden tarik diri #Kamala Harris #kempen pilihan raya