Kempen #batfornepal bantu mangsa gempa bumi Nepal
Shafizan Johari
Jun 25, 2015 10:36 MYT
Jun 25, 2015 10:36 MYT
Walaupun teruk dilanda gempa bumi kuat April lalu, pasukan kriket kebangsaan Nepal tampil berani untuk mencabar mana-mana pemain kriket dunia.
Cabaran itu dibuat oleh kaptennya Paras Khadka dalam usaha meningkatkan kesedaran global terhadap usaha membangunkan semula Nepal yang dilanda gempa April lalu.
Dalam satu video yang dimuat naik di YouTube, Khadka memberitahu perlawanan akan diadakan di Kuala Lumpur dan ia adalah antara sebahagian kempen #batfornepal.
Begitupun tarikh perlawanan itu masih belum dimaklumkan.
Tambah Khadka lagi, semua kutipan derma yang diperoleh menerusi perlawanan terbabit akan disalurkan kepada badan kebajikan di Nepal.
“Ia akan digunakan untuk membangunkan semula negara ini (Nepal), dan membantu komuniti di sini. Kami cuba untuk membawa semula suasana positif ke Nepal”.
“Kriket adalah sukan yang mampu menyatukan seluruh negara ini dan saya berharap kempen ini akan mewujudkan kesan positik kepada rakyat Nepal," jelas Khadka dalam video yang berdurasi 1 minit 23 saat.
Video itu dimuat naik Persatuan Kriket Malaysia.
Sukan kriket adalah sukan kedua paling popular di Nepal selepas bola sepak.
Secara keseluruhan, Nepal mempunyai 429 kelab kriket untuk pemain senior dan 227 kelab untuk pemain muda.
Tidak seperti pasukan kriket dari negara lain yang rata-rata turut disertai oleh pemain dari luar negara, seperti ekspatriat, pasukan kriket Nepal semuanya diwakili oleh warga tempatan.