Kementerian Pendidikan buat perincian isu guru bersara awal - Radzi

Amirrul Rabbani
Mac 21, 2022 14:11 MYT
Radzi Jidin (tengah) beramah mesra bersama murid-murid Tahun Satu pada hari pertama pembukaan sekolah di Sekolah Kebangsaan Syed Idrus, Chemor hari ini. Gambar BERNAMA
IPOH: Jumlah guru yang mengambil keputusan untuk bersara awal di negara ini dianggarkan sama dengan jumlah guru yang bersara wajib.
Tanpa mendedahkan angka, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, KPM sedang membuat perincian lanjut berhubung perkara berkenaan.
Menurut beliau, perincian yang akan dibuat turut membabitkan perkara-perkara seperti punca dan faktor keputusan, usia serta pengalaman kerjaya dalam perguruan bagi golongan yang memohon bersara awal.
“Secara umumnya, kadar persaraan dalam kalangan guru yang bersara wajib itu lebih kurang sama dan guru yang bersara awal…data-datanya kami sedang perincikan satu persatu,” kata beliau kepada wartawan selepas mengadakan tinjauan perjalanan hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Syed Idrus di Chemor dekat sini, pada Isnin.
Pada Februari lalu, media melaporkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, semua guru di negeri Perak diminta untuk tidak mengambil keputusan bersara susulan tekanan akibat COVID-19.
Sebelum itu juga, isu guru bersara awal turut hangat diperkatakan apabila bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik menyuarakan hal yang sama pada sidang Dewan Rakyat pada November tahun lalu.
Ahli Parlimen Simpang Renggam itu dilaporkan berkata, alasan yang seringkali dikemukakan oleh guru yang ingin bersara awal adalah 'burnout' atau kelesuan disebabkan bebanan kerja yang disifatkan terlampau banyak ketika negara berhadapan penularan COVID-19.
#guru #bersara awal #bersara wajib #Radzi Jidin
;