Kementerian Luar Jepun pindahkan kakitangan diplomatik dari Ukraine

Bernama
Februari 14, 2022 13:31 MYT
Jepun antara negara yang telah memindahkan sebahagian kakitangan diplomatik dari Kiev sejak minggu lepas. - Reuters
TOKYO: Jepun memindahkan hampir semua kakitangan kedutaannya dari Ukraine dan menyeru rakyatnya meninggalkan negara itu secepat mungkin, lapor Sputnik, memetik Kementerian Luar Jepun.
Berikutan itu, Kedutaan Jepun di Kiev hanya akan menawarkan perkhidmatan terhad selepas kakitangan diplomatik dipindahkan, menurut kementerian pada Ahad.
Jepun pada Jumaat mengeluarkan amaran tahap tinggi untuk rakyatnya yang masih berada di Ukraine dan menggesa tinggalkan negara itu secepat mungkin berikutan ketegangan semakin memuncak.
Pejabat Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida telah menubuhkan satu badan untuk menyelaras tindakan dan mengumpul maklumat mengenai perkembangan di Ukraine, lapor agensi berita Kyodo.
Jepun antara negara yang telah memindahkan sebahagian kakitangan diplomatik dari Kiev sejak minggu lepas.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken dalam satu sidang media pada Sabtu berkata, pemindahan kakitangan diplomatik dari Ukraine adalah wajar kerana "risiko tindakan ketenteraan Rusia cukup tinggi, ancaman peperangan hampir berlaku dan ia perkara yang wajar dilakukan."
Sejak beberapa bulan lalu, Barat dan Ukraine menuduh Rusia menempatkan anggota tenteranya berhampiran sempadan Ukraine sebagai persediaan untuk "menyerang."
Moscow menafikan tuduhan itu, berulang kali berkata pihaknya tidak mengancam sesiapa.
Selain itu, Moscow turut menyatakan kebimbangan terhadap aktiviti ketenteraan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berhampiran sempadan negaranya, yang dianggap menggugat keselamatan Rusia.
--BERNAMA
#Kedutaan Jepun #Ukraine #Kiev #Rusia
;