Kementerian Luar Indonesia sedia bantuan kepada migran terlibat dalam pergaduhan di Taiwan
Bernama
September 17, 2023 18:26 MYT
September 17, 2023 18:26 MYT
TANGERANG: Kementerian Luar Indonesia akan memberi bantuan kepada 15 pekerja asing Indonesia yang disyaki terlibat dalam pergaduhan antara dua kumpulan silat di Taiwan yang menyebabkan seorang maut, lapor Agensi Berita ANTARA.
"Walaupun mereka terlibat dalam (pergaduhan), suspek mempunyai hak. Kami tetap memberikan bantuan," kata Pengarah Perlindungan Rakyat dan Entiti Undang-undang kementerian Nugroho Aribhimo, di sini pada Ahad.
Menurutnya, pihak penguatkuasa undang-undang Taiwan sedang menyiasat insiden pergaduhan yang melibatkan dua kumpulan silat Indonesia itu.
Kesemua 15 suspek juga telah dipindahkan ke Pejabat Pendakwa raya Daerah Changhua untuk siasatan atas pertuduhan membunuh, menyerang dan bertempur.
Aribhimo berkata kementerian akan memberi bantuan kepada suspek sepanjang proses perundangan yang sedang berjalan selain menjaga mangsa pergaduhan.
"Ada seorang yang cedera tetapi sudah mula pulih dan bagi mereka yang dalam proses undang-undang, kami bekerjasama dengan Polis Changhua dan Pejabat Pendakwa raya," katanya.
Ekoran insiden itu, warga Indonesia sama ada di Taiwan atau di dalam negara dinasihatkan bertenang.
Sementara itu, mayat mangsa yang dikenali sebagai JF, seorang pekerja pembuatan di Taiwan dari Trenggalek, Jawa Timur, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Tangerang, Banten, pada Sabtu (16 September 2023).
-- BERNAMA