Kementerian Komunikasi Indonesia lancar e-buku ASEANpedia

Bernama
April 10, 2023 06:45 MYT
E-buku itu berfungsi sebagai rujukan mengenai ASEAN dan Indonesia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini. - Foto BERNAMA
JAKARTA: Indonesia telah mengeluarkan e-buku ASEANpedia pada Isnin, sebagai sebahagian daripada aktiviti Pengerusi ASEAN 2023 dan boleh diakses menerusi pautan https://s.id/aseanpedia.
Menurut Kementerian Komunikasi dan Informatik, e-buku terbabit menyediakan maklumat lengkap tentang ASEAN dan peranannya sebagai pusat pertumbuhan ekonomi dunia.
"E-buku itu turut memuatkan kejayaan ASEAN dari segi geo-ekonomi dan geopolitik dalam bahasa mudah," kata ketua pengarah Komunikasi Awam Usman Kansong.
E-buku itu berfungsi sebagai rujukan mengenai ASEAN dan Indonesia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini bertemakan, 'ASEAN Matters: Epicentrum Of Growth.'
Ia juga boleh menjadi rujukan media massa dalam mencari maklumat mengenai keseluruhan siri Kepemimpinan ASEAN menerusi aktiviti 2023 dan lokasi mesyuarat Sidang Kemuncak ASEAN.
"E-buku adalah dokumen hidup, kandungannya seperti artikel, infografik, dan video, dikemas kini mengikut pelaksanaan agenda aktiviti," kata Usman.
-- BERNAMA
#ASEANpedia #E-buku #pusat pertumbuhan ekonomi #Kementerian Komunikasi dan Informatik Indonesia
;