Kementerian Kesihatan Gaza terima lebih 1 juta dos vaksin polio

Bernama
Ogos 26, 2024 12:15 MYT
Pada 16 Ogos, kementerian mengumumkan kes pertama polio di Semenanjung Gaza dalam tempoh 25 tahun di bandar Deir al-Balah. - Foto AP
BANDAR GAZA: Kementerian Kesihatan Gaza mengumumkan lewat Ahad bahawa pihaknya menerima 1.26 juta dos vaksin polio, lapor Agensi Anadolu.
"Sebanyak 1.26 juta dos vaksin polio OPV2 telah tiba bersama dengan 500 peti penyejuk vaksin.
"Persediaan sedang dijalankan untuk melancarkan kempen vaksinasi ini dengan kerjasama rakan-rakan kongsi," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Pada 16 Ogos, kementerian mengumumkan kes pertama polio di Semenanjung Gaza dalam tempoh 25 tahun di bandar Deir al-Balah.
Kes melibatkan seorang bayi berusia 10 bulan yang belum menerima sebarang dos vaksin polio.
Penyakit ini terutamanya memberi kesan kepada kanak-kanak di bawah umur lima tahun, dengan satu daripada 200 jangkitan membawa kepada lumpuh.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), antara lima hingga 10 peratus daripada mereka yang mengalami lumpuh meninggal dunia disebabkan kegagalan otot pernafasan.
-- BERNAMA
#vaksin polio #Kementerian Kesihatan #OPV2 #Gaza