Kemelut perubahan iklim tidak akan selesai jika dunia bersikap 'egosentrik' - Jokowi

Astro Awani
September 5, 2024 07:00 MYT
Joko Widodo berkata Indonesia memiliki hutan paya bakau seluas 3.3 juta hektar yang mampu menyerap karbon dengan berkesan serta salah satu kawasan industri hijau terbesar di dunia. - Foto X/Joko Widodo
JAKARTA: Perubahan iklim memerlukan penyelesaian melalui usaha kerjasama yang melibatkan semua pihak di peringkat global.
Menurut Presiden Indonesia Joko Widodo, kemelut global itu tidak mampu diselesaikan jika dunia masih bersikap egosentrik dengan menggunakan pendekatan ekonomi yang hanya mementingkan keuntungan atau pertumbuhan tanpa mengambil kira kesan terhadap alam sekitar dan kesejahteraan sosial.
Justeru katanya, sebagai solusi, ia memerlukan pendekatan yang kolaboratif, pendekatan yang berperikemanusiaan, serta kerjasama antara negara maju dan negara membangun.
Bagaimanapun, proses tersebut perlu dilaksanakan tanpa mengorbankan kepentingan rakyat marhaen.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa Upacara Pembukaan Forum Kelestarian Antarabangsa Indonesia (IISF) 2024 di Jakarta, pada Khamis.
Beliau juga menekankan bahawa ekonomi hijau bukan sahaja mengenai perlindungan alam sekitar, tetapi juga tentang mencipta kesejahteraan yang berkelanjutan untuk masyarakat.
Tambahnya, republik itu komited untuk memberi sumbangan besar dalam mencapai pelepasan sifar bersih (net zero emission) melalui pelbagai potensi tenaga hijau.
Katanya Indonesia memiliki hutan paya bakau seluas 3.3 juta hektar yang mampu menyerap karbon dengan berkesan serta salah satu kawasan industri hijau terbesar di dunia.
Namun, semua itu tidak akan memberi kesan yang signifikan jika sokongan serta akses kepada penyelidikan dan teknologi masih terhad.
Katanya lagi Indonesia sangat terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja bagi memaksimumkan potensi dunia yang lebih hijau, menyediakan akses kepada tenaga hijau yang adil, dan mendorong pertumbuhan ekonomi yang inklusif serta mampan.
#Joko Widodo #perubahan iklim #kerjasama #alam sekitar
;