Kemelut ekonomi UK: Sunak yakin bentang bajet adil, bertimbang rasa 17 Nov ini

Astro Awani
November 6, 2022 01:45 MYT
Sunak mahu mendapatkan semula kepercayaan rakyat dengan berlaku jujur tentang kesulitan ekonomi yang dihadapi UK. -Gambar fail/Reuters
LONDON: Perdana Menteri United Kingdom (UK), Rishi Sunak mengakui kerajaan tidak dapat menyelesaikan semua masalah yang dihadapi rakyat Britain.
Sunak yang dijangka mengumumkan kenaikan cukai 50 bilion pound dan pemotongan bajet memberitahu, kepercayaan terhadap parti Konservatif telah dirosakkan oleh 'bajet gula-gula' pemimpin sebelum ini, Liz Truss.
Dalam hal ini, katanya, masyarakat tidak boleh mengharapkan kerajaan untuk menyelesaikan setiap masalah.
Beliau akan mendapatkan semula kepercayaan rakyat dengan berlaku jujur ​​tentang kesulitan ekonomi yang dihadapi UK.
Sunak turut yakin rakyat Britain akan menilai bajet musim luruhnya pada 17 November ini sebagai adil dan bertimbang rasa.
Truss dilantik sebagai Perdana Menteri pada September menggantikan Boris Johnson.
Beliau hanya berkhidmat selama 44 hari.
Pada 20 Oktober, beliau mengumumkan peletakan jawatan berikutan kritikan hebat terhadap rancangan ekonomi baharu kerajaan dan kemungkinan meningkatkan hutang awam bagi melaksanakannya.
Pada 25 Oktober, Raja Charles III melantik Sunak sebagai perdana menteri baharu.
#Rishi Sunak #Liz Truss #United Kingdom #Raja Charles III