Kemboja: Tambak di bahagian barat Angkor Wat dilancar
Bernama
November 4, 2023 07:15 MYT
November 4, 2023 07:15 MYT
SIEM REAP (Kemboja): Kemboja merasmikan tambak di bahagian barat kompleks kuil Angkor Wat yang terkenal di Taman Arkeologi Angkor di sini pada Sabtu selepas kerja-kerja pemulihan selama 19 tahun.
Raja Kemboja, Raja Norodom Sihamoni bersama dengan Perdana Menteri, Hun Manet menghadiri upacara perasmian tambak itu yang membawa pengunjung ke pintu masuk utama Angkor Wat di bahagian barat.
Tambak sepanjang 192 meter dan lebar 11.6 meter selain tinggi 4 meter itu digunakan sebagai pintu masuk untuk melawat Angkor Wat manakala jambatan terapung di selatan tambak itu dikekalkan sebagai pintu keluar utama bagi pelawat.
Berucap pada majlis itu, Sihamoni bertitah, pemuliharaan dan pengukuhan tambak dengan mengekalkan bentuk asalnya telah meningkatkan nilai kuil Angkor Wat.
"Angkor Wat adalah bukti kebangkitan budaya seni pada abad ke-12, yang dianggap sebagai lokasi menakjubkan dan lambang inovasi pada kemuncak kejayaan manusia," titah baginda.
Sementara itu, Menteri Kebudayaan dan Seni Halus Kemboja, Phoeurng Sackona berkata, pelancaran tambak itu menandakan satu lagi pencapaian bersejarah dalam perlindungan dan pemuliharaan Angkor Wat.
Tambak itu juga akan membantu mengurangkan aliran pelancong di Angkor Wat, lapor Xinhua.
Tambak yang dihiasi dengan arca Naga (ular dengan beberapa kepala) dan Singha (singa) itu diperbuat daripada ribuan batu pasir dan batu laterit.
Pemulihan itu dilakukan oleh Pihak Berkuasa Kebangsaan APSARA (ANA) dengan kerjasama Universiti Sophia Jepun.
Angkor Wat merupakan satu daripada kuil utama di Taman Arkeologi Angkor seluas 401 kilometer persegi, yang tercatat dalam senarai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 1992. - BERNAMA-XINHUA