Kemboja sebagai destinasi kebudayaan terkemuka Asia - World Travel Awards
Bernama
Februari 28, 2024 18:27 MYT
Februari 28, 2024 18:27 MYT
PHNOM PENH: Kemboja sekali lagi dipilih sebagai destinasi kebudayaan terkemuka Asia oleh World Travel Awards bagi 2023, kata Menteri Pelancongan negara itu Sok Soken pada Rabu.
"Pencapaian luar biasa ini mengesahkan daya tarikan destinasi kami sebagai tempat wajib dikunjungi bagi pencinta kebudayaan," katanya menerusi akaun Telegram rasminya.
Setiausaha Negara dan jurucakap Kementerian Pelancongan Top Sopheak berkata Kemboja adalah destinasi pelancongan bagi kebudayaan dan ekologi.
"Negara ini terkenal dengan Taman Arkeologi Angkor iaitu sebuah tapak warisan dunia dan lain-lain lagi, " katanya kepada Xinhua.
Selain itu, negara ini mempunyai tiga tapak warisan dunia yang lain - Zon Kuil Sambor Prei Kuk di wilayah tengah Kampong Thom, dan Kuil Preah Vihear dan tapak arkeologi Koh Ker di barat laut wilayah Preah Vihear.
Pelancongan merupakan satu daripada empat sektor utama yang menyokong ekonomi Kemboja.
Negara Asia Tenggara itu merekodkan kira-kira 5.45 juta ketibaan pelancong antarabangsa pada 2023, memperoleh pendapatan sekitar AS$3.08 bilion yang menyumbang 7.5 peratus kepada keluaran dalam negara kasar, menurut Kementerian Pelancongan.
Sektor pelancongan telah mewujudkan kira-kira 450,000 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan.
-- BERNAMA