Kemboja rai ulang tahun keputeraan ke-71 Raja dengan persembahan bunga api
Bernama
Mei 15, 2024 08:40 MYT
Mei 15, 2024 08:40 MYT
PHNOM PENH: Bunga api dilancarkan ke langit di atas Sungai Tonle Sap di hadapan Istana Diraja di sini pada Selasa malam sebagai menyambut ulang tahun keputeraan ke-71 Raja Kemboja, Norodom Sihamoni, lapor Xinhua.
Persembahan bunga api yang memukau itu berlangsung kira-kira 20 minit dan letupan warna-warninya menarik perhatian orang ramai dan pejalan kaki di kedua-dua belah tebing sungai.
Ucapan agar baginda dikurniakan keberkatan daripada ahli Senat, Dewan Perwakilan Nasional dan kerajaan disiarkan dengan meluas melalui saluran televisyen dan radio, diterbitkan dalam akhbar dan dihantar ke media sosial.
Hari ulang tahun keputeraan Raja Kemboja merupakan satu cuti umum di negara Asia Tenggara ini.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, Raja tidak mengadakan sambutan mewah pada ulang tahun keputeraan baginda tetapi berangkat menghadiri upacara Buddha yang diadakan di Istana Diraja.
Sihamoni diputerakan pada 14 Mei 1953. Baginda dimasyhurkan dan secara rasmi ditabalkan sebagai Raja Kemboja pada 29 Oktober 2004, selepas ayahandanya, Raja Norodom Sihanouk turun daripada takhta kerana gering.
-- BERNAMA