Kemboja mula lancar vaksin dos penggalak keempat

Bernama
Januari 14, 2022 18:31 MYT
Kemboja pada Jumaat melancarkan pemberian vaksin dos penggalak keempat terhadap kumpulan sasaran di ibu negara Phnom Penh berikutan varian Omicron telah menular dalam komuniti. - Foto AP
PHNOM PENH: Kemboja pada Jumaat melancarkan pemberian vaksin dos penggalak keempat terhadap kumpulan sasaran di ibu negara Phnom Penh berikutan varian Omicron telah menular dalam komuniti, lapor Xinhua.
Kumpulan sasaran termasuk pemimpin kerajaan, ahli Senat, ahli dewan perwakilan, doktor, pegawai kerajaan, tentera dan polis, pihak berkuasa tempatan dan warga emas, menurut kementerian kesihatan negara itu.
Kakitangan kedutaan serta organisasi kebangsaan dan antarabangsa, wartawan dan selebriti, turut tersenarai menerima dos penggalak keempat, tambahnya.
Perdana Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen menerima dos penggalak keempat pada pagi Jumaat di kediamannya di selatan Bandar Takhmao dan menggesa orang ramai turut berbuat demikian apabila tiba giliran masing-masing.
"Hari ini, saya dan isteri menerima dos penggalak terhadap COVID-19. Tiada pilihan yang lebih baik melainkan vaksinasi, selain mengamalkan tiga langkah pencegahan kesihatan," katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi miliknya.
Tiga langkah pencegahan itu termasuk memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan dan mengekalkan jarak fizikal 1.5 meter, di samping mengelakkan diri berada di ruang tertutup, ruang sesak, dan elakkan daripada menyentuh satu sama lain.
"Tolong pergi dapatkan vaksin, termasuk dua suntikan vaksin COVID-19 dan suntikan penggalak, demi melindungi diri, keluarga, kampung, masyarakat dan negara kita," kata Hun Sen.
Negara Asia Tenggara itu mengesahkan pada Jumaat, 10 kes baharu jangkitan COVID-19 membabitkan varian Omicron, dengan enam kes tempatan dan empat lagi merupakan kes import, menurut kementerian kesihatan.
Sejak wabak melanda, Kemboja merekodkan 120,728 kes, dengan 3,015 kematian manakala 117,072 pesakit telah pulih, kata kementerian itu.
Kemboja telah membuka semula aktiviti sosio-ekonomi di semua kawasan sejak November, berikutan kadar vaksinasi yang tinggi.
Kebanyakan vaksin yang digunakan di seluruh negara merupakan vaksin jenis Sinovac dan Sinopharm China.
--BERNAMA
TAGS: Kemboja, COVID-19, coronavirus, vaksin, Omicron, penggalak
#Kemboja #vaksin #dos penggalak #dos keempat #Phnom Penh #varian omicron #COVID-19
;