Kemboja lancar kad e-Ketibaan untuk penumpang penerbangan bulan depan - PM
Bernama
Ogos 13, 2024 08:20 MYT
Ogos 13, 2024 08:20 MYT
PHNOM PENH: Kemboja akan melancarkan skim kad e-Ketibaan pada September ini bagi penumpang yang tiba di negara Asia Tenggara itu melalui jalan udara, kata Perdana Menteri Hun Manet pada Isnin, lapor Xinhua.
Kad e-Ketibaan digital ini akan menggantikan borang kertas untuk pengisytiharan imigresen, kesihatan dan kastam. Ia boleh didapati di www.arrival.gov.kh atau melalui aplikasi "Cambodia e-Arrival" yang tersedia di App Store dan Play Store pada telefon bimbit dan peranti elektronik lain.
Sistem e-Ketibaan Kemboja akan dilancarkan secara rasmi di tiga lapangan terbang Kemboja mulai 1 Sept 2024 bagi memudahkan ketibaan pelancong tempatan dan antarabangsa, kata Hun Manet di saluran Telegram rasminya.
Menurut Jabatan Imigresen, aplikasi e-Ketibaan akan memudahkan urusan imigresen dan prosedur kesihatan bagi penumpang dengan hanya melengkapkan satu borang.
Jabatan Imigresen juga menyatakan bahawa penumpang asing masih perlu menunjukkan atau mendapatkan visa semasa ketibaan, dan dalam tempoh tujuh hari sebelum ketibaan mereka, penumpang dikehendaki mengisi pengisytiharan imigresen, kesihatan dan kastam dalam satu borang melalui aplikasi "Cambodia e-Arrival".
Thourn Sinan, Pengerusi Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) cawangan Kemboja, berkata skim kad e-Ketibaan akan membantu menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke negara itu.
"Aplikasi kad e-Ketibaan boleh melancarkan proses kemasukan untuk pelancong, berpotensi menarik lebih ramai pelawat ke Kemboja," katanya kepada Xinhua.
"Dengan menawarkan kemudahan dan kecekapan, aplikasi itu mungkin meningkatkan daya tarikan negara, " katanya lagi.
Pelancongan adalah satu daripada empat tonggak yang menyokong ekonomi Kemboja, selain daripada eksport pakaian, kasut dan barangan perjalanan, pertanian, serta pembinaan dan hartanah.
Kerajaan itu menerima 3.16 juta pelancong antarabangsa dalam separuh pertama 2024, meningkat daripada 2.57 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, menurut Kementerian Pelancongan.
-- BERNAMA