Kemboja kembali raikan pesta Sankranta di Angkor selepas pandemik

Bernama
April 14, 2023 18:01 MYT
Hun Sen yakin festival Sankranta akan memberi rangsangan kepada pemulihan industri pelancongan yang dilanda pandemik. - Gambar/ FB ASEAN Society & Culture
SIEM REAP: Kemboja kembali meraikan festival Sankranta, atau sambutan Tahun Baharu Khmer di Taman Arkeologi Angkor pada Jumaat, lapor Xinhua.
Bercakap kepada beribu-ribu pegawai dan orang ramai pada majlis itu, Perdana Menteri Samdech Techo Hun Sen berkata festival Sankranta diraikan dengan penuh kemeriahan ekoran kejayaan kerajaan mengawal wabak COVID-19.
"Festival Sankranta dianjurkan untuk memberi inspirasi kepada rakyat Kemboja, terutamanya generasi muda untuk memahami, mencintai dan mempromosikan budaya, tamadun, tradisi serta adat yang tidak ternilai," katanya.
Pelbagai acara termasuk pertunjukan kebudayaan, permainan tradisional, tarian, nyanyian, seni mempertahankan diri, pameran perdagangan, pertunjukan makanan dan konsert berlangsung di festival itu bermula Jumaat hingga Ahad.
Hun Sen yakin festival Sankranta akan memberi rangsangan kepada pemulihan industri pelancongan yang dilanda pandemik.
"Dijangka lebih 4 juta pelancong antarabangsa melawat Kemboja tahun ini," katanya sambil mendedahkan bahawa negara Asia Tenggara itu menerima kemasukan 2.28 juta pelancong asing pada 2022.
Kemboja menerima 6.6 juta pelawat antarabangsa pada 2019, dan jumlah itu menurun secara mendadak kepada 1.3 juta pada 2020 dan 200,000 pada 2021, menurut Kementerian Pelancongan negara itu.
--BERNAMA-XINHUA
#Kemboja #Angkor Wat #festival Sankranta #Tahun Baharu Khmer
;