Kemboja kecam sekatan AS terhadap jutawannya
Bernama
September 13, 2024 06:15 MYT
September 13, 2024 06:15 MYT
PHNOM PENH: Kemboja pada Jumaat mengecam Amerika Syarikat (AS) kerana secara unilateral mengenakan sekatan terhadap seorang jutawan Kemboja dan empat perniagaan berkaitan, lapor Xinhua.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luarnya menyatakan rasa kesal terhadap keputusan yang menyasarkan ahli perniagaan Kemboja, Ly Yong Phat, konglomeratnya L.Y.P. Group Co. Ltd. dan empat perniagaan yang berkaitan.
"Tindakan ini berdasarkan laporan tidak disahkan mengenai buruh paksa yang dikaitkan dengan penipuan pelaburan dalam talian, adalah bermotifkan politik dan bertentangan dengan semangat memperkukuh kerjasama dua hala dan kepercayaan bersama," kata kenyataan itu.
Sekatan unilateral ini telah melemahkan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan norma asas yang mengawal hubungan antarabangsa, terutamanya prinsip kedaulatan, kesaksamaan, dan tidak campur tangan, kata kementerian itu.
"Menerusi L.Y.P. Group, sumbangan beliau (Ly Yong Phat) kepada pembangunan infrastruktur, penciptaan pekerjaan, dan pembasmian kemiskinan telah memberi impak positif kepada kehidupan ribuan rakyat Kemboja," katanya.
"Tindakan proaktif kerajaan kami dalam memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan yang kompleks menunjukkan komitmen teguh untuk menegakkan maruah manusia dan kedaulatan undang-undang," kata kenyataan itu.
-- BERNAMA