Kemboja catat peningkatan mangsa periuk api, sisa letupan perang
Bernama
Julai 5, 2024 19:54 MYT
Julai 5, 2024 19:54 MYT
PHNOM PENH: Kemboja merekodkan 35 kematian akibat periuk api dan sisa letupan perang (ERW) pada separuh pertama 2024, meningkat hampir 67 peratus berbanding 21 kes pada tempoh yang sama tahun lalu, lapor Xinhua pada Jumaat.
"Lapan orang terbunuh, 21 cedera manakala enam lagi cacat anggota badan dalam tempoh Januari-Jun tahun ini," kata jurucakap Cambodian Mine Action and Victim Assistance Authority (CMAA), Lang Kosal.
Mangsa terdiri daripada 21 lelaki, dua wanita dan 12 kanak-kanak.
Sejak 1979 hingga Jun tahun ini, letupan periuk api dan ERW meragut 19,830 nyawa dan menyebabkan 45,242 lagi cedera atau cacat anggota badan, katanya.
Sementara itu, Menteri Kanan Ly Thuch, naib presiden pertama CMAA berkata bahawa dari 1992 hingga 2023, Kemboja telah membersihkan 3,024 kilometer persegi tanah yang tercemar dengan periuk api dan ERW.
Tindakan itu memberi manfaat kepada kira-kira 12 juta orang atau 70 peratus daripada jumlah penduduk negara itu.
Namun, kerajaan masih perlu membersihkan baki 533 kilometer persegi tanah yang tercemar dengan periuk api dan 1,321 kilometer persegi tanah yang tercemar dengan ERW lain.
"Kita mesti menggandakan usaha dan mempercepatkan tindakan untuk mencapai matlamat bebas periuk api pada 2025," katanya dalam satu ucapan baru-baru ini.
-- BERNAMA