Kembali kepada prinsip asas pengawasan kesihatan masyarakat - WHO
Astro Awani
Mei 9, 2020 11:07 MYT
Mei 9, 2020 11:07 MYT
PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa seluruh negara kembali kepada prinsip asas pengawasan kesihatan masyarakat jika ingin menangani COVID-19.
Menurut Pakar Kesihatan Kecemasan WHO, Mike Ryan, pengawasan lebih ketat kesihatan awam perlu ditingkatkan kerana banyak negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Switzerland, Mexico dan Jerman telah memulakan usaha membuka semula ekonomi mereka.
Katanya, semua negara harus fokus kepada asas perjuangan melawan virus itu secara global melalui mencari potensi jangkitan baru, memburu pandemik itu, mengesahkan pesakit dan mengasingkan mereka yang dijangkiti untuk menyelamatkan orang lain.
WHO melihat kenyataan itu sebagai realiti yang semua pihak perlu kembali ke pengawasan kesihatan masyarakat.
Dalam sidang media di Geneva pada Jumaat, Ryan berkata, semua pihak perlu kembali kepada perkara yang dilakukan sejak beberapa bulan lalu, iaitu mencari kes, menjejaki kontak, melakukan ujian dan mengasingkan pesakit.
Sementara itu, Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Grebeyesus bimbang sekiranya berlaku masalah pembiayaan setelah Presiden AS Donald Trump bulan lalu menyatakan pentadbirannya akan menghentikan dana kepada agensi kesihatan PBB itu.
Pihaknya sedang menghadapi defisit ASD1.3 bilion dalam usaha menangani COVID-19.
Ryan menyeru semua negara untuk tetap bersatu ketika virus ini merebak antara negara dengan kadar yang berbeza dengan jumlah kematian yang tinggi.
Katanya, sebagai contoh Rusia sedang menangani pandemik yang tertangguh apabila kes baharu meningkat di negara itu sejak beberapa hari selepas melepasi Perancis dan Jerman.
Tambah beliau, tiada orang yang akan selamat sehingga semua orang selamat dan masyarakat harus menjalani perubahan gaya hidup yang signifikan sehingga vaksin dapat dihasilkan.
Pakar sebelum ini memberi amaran vaksin hanya akan dapat dihasilkan beberapa bulan lagi.
#buka semula ekonomi
#COVID-19
#Donald Trump
#ekonomi
#kesihatan
#koronavirus
#Mexico
#Mike Ryan
#pandemik
#PBB
#Switzerland
#Tedros Adhanom Grebeyesus
#virus
#WHO